ABDULLAH Khairi. FOTO arkib NSTP
ABDULLAH Khairi. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada pendakwah, Abdullah Khairi berkuat kuasa pada 27 September lalu.

Perkara itu didedahkan oleh pendakwah berkenaan atau nama penuhnya Abdullah Khairi Haroon menerusi hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.

Dalam hantaran itu, pendakwah berkenaan memuat naik surat dihantar oleh pihak Mais memaklumkan perkara terbabit yang bertarikh 3 Oktober lalu.

Berdasarkan surat itu, penarikan balik tauliah mengajar beliau di Selangor diputuskan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Mais yang bersidang pada 27 September lalu.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan alasan tempoh tauliah mengajar beliau yang masih berbaki sehingga 31 Disember 2024 itu, ditarik balik.

Surat itu ada menjelaskan bahawa beliau boleh membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah Mais kepada Mais dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat berkenaan.

"Alhamdulillah! Ala kuli halin…Selangor dah bye bye …!!," tulis Abdullah Khairi dalam hantaran di media sosial.

- HMetro