NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 4,000 anak tuntung dilepaskan ke Sungai Kemaman

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih Kemaman, Mohd Hafiz Adam (empat dari kiri) dan Pelf Nyok (dua dari kanan) melepas tuntung ke Sungai Kemaman di Kampung Pasir Gajah.


KEMAMAN - Lebih 4,000 ekor anak tuntung berjaya dilepaskan ke Sungai Kemaman menerusi projek konservasi tuntung di Kampung Pasir Gajah dekat sini sejak 2011.

Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia, Dr Chen Pelf Nyok berkata, projek konservasi dijalankan itu bagi memastikan kesinambungan spesies tuntung selain mengelak kepupusan hidupan tersebut di Sungai Kemaman.

Menurutnya, tuntung sungai merupakan spesies yang sangat istimewa kerana ia hanya boleh dijumpai di dua negara iaitu Malaysia dan Kemboja.

"Tidak seperti penyu yang boleh menghasilkan ratusan telur malah ribuan butir telur pada satu-satu musim namun tuntung sungai cuma boleh menghasilkan antara 25 hingga 35 butir telur setiap tahun.

"Jumlah telur yang dihasilkan oleh tuntung amat kurang berbanding dengan penyu. Bagaimanapun, sejak projek konservasi tuntung dijalankan maka projek itu telah berjaya menggeramkan lebih 8,000 butir telur tuntung.

"Selain turut menetaskan serta melepaskan lebih 4,000 ekor anak tuntung ke dalam Sungai Kemaman. Tanpa projek konservasi ini, kemungkinan besar tuntung sungai di Sungai Kemaman sudah pupus," katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Tuntung di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 300 ekor tuntung sungai dilepaskan di Sungai Kemaman yang disertai lebih 200 peserta termasuk penduduk kampung serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut, Nyok berkata, projek konservasi tuntung di Kampung Pasir Gajah dimulakan dengan kerjasama enam orang penduduk setempat yang bertungkus lumus mengutip telur tuntung bagi tujuan konservasi pada tahun 2011.

"Mereka juga menamakan kumpulan mereka sebagai 'Geng Tuntung'. Selepas 12 tahun, kumpulan Geng Tuntung ini telah berkembang dan kini mempunyai 14 orang ahli.

"Selain itu, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia yang ditubuhkan bertujuan memelihara dan memulihara spesies tuntung yang terancam di seluruh negara," jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pelbagai kajian penyelidikan untuk lebih memahami spesies hidupan berkenaan termasuk mengetahui sifat, pergerakan serta sumbangan ekologi tuntung sungai terhadap alam sekitar.

Dalam pada itu, Pelf Nyok menyatakan dengan adanya tuntung sungai liar maka pelancong akan mengunjungi Kampung Pasir Gajah untuk melihat spesies terancam tersebut.

"Kedatangan pelancong secara langsung akan meningkatkan ekonomi tempatan kerana mereka akan membeli makanan, minuman dan cenderamata dari penduduk setempat," katanya.

Menurutnya, sebelum pandemik Covid-19, pihak persatuan telah memulakan inisiatif pemerkasaan wanita di beberapa kampung di Kemaman.

Katanya lagi, hasil inisiatif tersebut telah memberi peluang kepada sekumpulan 20 orang wanita tempatan untuk menjahit pelbagai cenderamata berasaskan kain batik tuntung sambil menjana kewangan bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga.

"Produk jahitan hasil buatan mereka pernah dijual ke lapan negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, dan Australia," ujarnya.

Justeru, Pelf Nyok mengharapkan supaya usaha konservasi berkenaan dijalankan secara berterusan.

"Pada masa sama ia membantu menaikkan nama Kampung Pasir Gajah supaya sinonim dengan usaha konservasi tuntung dan terkenal di persada dunia," ulasnya.


Sumber I Sinar Harian 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo