NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

[KRONOLOGI] Kebangkitan Palestin lawan kekejaman Israel


[KRONOLOGI] LEBIH 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel pada Sabtu selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan pelancaran 'Operation al-Aqsa Flood'.

Berikut merupakan kronologi selepas pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin.

7 Oktober 2023 (Sabtu)

Hamas isytihar serangan terbesar, bedil 5,000 peluru berpandu ke atas Israel

Pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas mengisytiharkan serangan balas terhadap pencerobohan rejim Israel di Palestin.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif berkata, Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.

"Kami telah memberi amaran kepada pihak Israel sebelum ini.

Seramai enam orang disahkan terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam kejadian serangan balas Pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam Hamas pada pagi Sabtu, susulan pencerobohan rejim Israel di Palestin.

Selain serangan kira-kira 5,000 peluru berpandu yang dilancarkan, media antarabangsa melaporkan pejuang Palestin juga telah berjaya melolosi Sempadan Gaza, yang terletak di Selatan Israel dengan visual menujukkan beberapa orang tentera Israel telah ditahan dalam keadaan cedera.

'Ini bukan sebarang operasi, ini peperangan' - Netanyahu

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu ucapan kepada rakyatnya memberi gambaran serangan terhadap negaranya adalah bermotifkan peperangan.

Memetik laporan Jerusalem Post pada Sabtu, Netanyahu berkata, "ini bukan sebarang operasi, ini ialah peperangan."

Hamas isytihar perang mengejut

Lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel pada Sabtu selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan pelancaran 'Operation al-Aqsa Flood'.

"Kami memutuskan untuk menamatkan seluruh perbuatan jenayah rejim Zionis. Era pendudukan mereka tanpa diheret ke muka pengadilan sudah berakhir," tegas Briged al-Qassam dalam satu kenyataan selepas pelancaran roket pertama pada jam 6.30 pagi (waktu tempatan).

Rakyat Palestin mahu pertahan diri dari penindasan, puak ekstrem - Hamas

Operasi yang dilancarkan oleh puak Hamas dan disertai oleh rakyat Palestin pada Sabtu adalah mesej mempertahankan diri dan kedaulatan tanah air.

Pegawai Perhubungan Antarabangsa Hamas, Khaled Qadoumi berkata, rakyat Palestin ketika ini berdepan penindasan oleh pentadbiran Israel sayap kanan (ekstrem) yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa.

Erdogan gesa Israel, Palestin tidak burukkan lagi keadaan

Presiden Turki, Recep Tayyep Erdogan menyeru kedua-dua pihak Israel dan Palestin untuk tidak bertindak dengan terburu-buru supaya situasi tidak menjadi lebih buruk susulan serangan balas Hamas pada pagi Sabtu ekoran pencerobohan rejim Israel di Palestin.

Media antarabangsa Al-Jazeera melaporkan, Erdogan turut menggesa supaya jangan ada pihak melakukan sebarang tindakan yang dikhuatiri boleh mencemar atau merosakkan infrastruktur dan status kesucian Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Perang Palestin-Israel dominasi platform media sosial

Tatkala masyarakat sivil memantau peperangan di antara Palestin dan Israel, kesemua platform media sosial turut dibanjiri dengan laporan-laporan media tempatan dan antarabangsa serta reaksi pelbagai pihak.

Tinjauan di X, mendapati kata kunci 'Israel' merupakan kata kunci tertinggi digunakan dengan 1.51 juta hantaran setakat 7 petang.

Mesej jelas untuk negara Arab, pengajaran untuk Israel - Hizbullah

Gerakan Hizbullah berpusat di Lubnan pada Sabtu dengan lantang menyokong operasi ketenteraan yang dilancarkan Hamas ke atas Israel.

"Ia merupakan mesej jelas kepada komuniti antarabangsa khususnya negara Arab dan Muslim yang mahu menormalkan hubungan dengan rejim Tel Aviv.

"Israel perlu mengambil pengajaran terhadap kebangkitan gerakan penentangan Palestin ini," ujarnya yang akan terus mengikuti perkembangan konflik terbaharu itu.

Israel ada kelebihan taktikal, tetap akan cuba raih simpati dunia

Kerajaan Israel dijangka akan menggunakan taktik menyerang balas dengan niat untuk ‘mematikan’ Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam, atau ‘memusnahkan’ kelengkapan pihak lawan mereka.

Media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk membanjiri kawasan Selatan, yang terdahulu sempadannya berjaya dilepasi tentera dari Palestin.

Perang Israel-Hamas: Angka korban terus meningkat

Konflik terbaharu antara Hamas-Israel menyaksikan jumlah korban terus meningkat pada Sabtu.

Jurucakap Hospital al-Shifa memaklumkan sekurang-kurangnya sembilan dilaporkan terkorban di Genting Gaza selepas rejim Zionis melancarkan serangan udara sebagai tindak balas terhadap hujan roket yang dibedil Hamas.

Negara Arab gesa Israel-Hamas 'bertenang'

Negara Arab menggesa Israel dan Hamas supaya bertenang untuk meredakan konflik terbaharu itu ketika negara Barat melemparkan kritikan terhadap tindakan berani mati gerakan Hamas kerana mencetuskan peperangan dengan Israel.

Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan memberi amaran tentang impak dahsyat yang bakal dihadapi rantau itu jika ketegangan tersebut berterusan.

160 rakyat Palestin, 40 penduduk Israel dilapor terbunuh dalam peperangan

Sekurang-kurangnya 160 rakyat Palestin terbunuh, manakala ribuan lagi tercedera susulan serangan balas yang dilancarkan oleh rejim zionis Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, seramai 40 penduduk Israel pula terbunuh, manakala angka mereka yang tercedera susulan serangan awal oleh Pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam pada pagi Sabtu, mencecah 750 orang.

8 Oktober 2023 (Ahad)

Palestin terus bermandi darah, Israel mengganas

Palestin terus bermandi darah dengan keganasan Israel semalaman mengorbankan lebih banyak rakyat Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, hampir 1,000 lagi cedera dalam serangan udara Israel di semenanjung Gaza.

Israel bunuh enam pemuda Palestin termasuk remaja 13 tahun

Tentera rejim Zionis menembak mati enam pemuda Palestin termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Tebing Barat.

Pembunuhan tersebut berlaku ketika Hamas yang menguasai Genting Gaza membedil 5,000 roket ke wilayah Israel pada Sabtu yang merupakan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas negara haram itu.

Serangan di Gaza: Dua wartawan hilang

Palestinian Journalists Syndicate (PJS) menggesa Palang Merah Antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa campur tangan dan membantu memastikan nasib dua wartawan Palestin, Nidal Al-Wahidi dan Haitham Abdelwahid, yang hilang semasa membuat liputan tentang serangan Israel ke atas Gaza.

Menurut agensi berita Palestin (WAFA), kesatuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu melahirkan kebimbangan mendalam terhadap kehilangan mengejut Al-Wahidi dan Abdelwahid semasa liputan mereka mengenai perkembangan serangan itu berhampiran pusat pemeriksaan tentera Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza.

Keangkuhan Israel makan diri

Keangkuhan Israel melakukan jenayah perang dan penghapusan rakyat Palestin tiada tolok banding.

Selama lebih tujuh dekad lamanya, rejim Zionis rakus melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

ARTIKEL PENUH:Keangkuhan Israel makan diri


Sukarelawan Palestin di Hospital Indonesia terbunuh serangan udara Israel

Satu serangan udara Israel ke atas Hospital Indonesia di Bayt Lahiya, Gaza Utara pada Sabtu mengakibatkan kematian seorang sukarelawan Palestin bernama Abu Romzi, yang telah berkhidmat di kemudahan itu sejak 2011.

Jet tempur Israel menyerang ambulans Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), sebuah pertubuhan sosial kemanusiaan Indonesia di hadapan kuarters sukarelawan di kompleks hospital itu.

ARTIKEL PENUH:Sukarelawan Palestin di Hospital Indonesia terbunuh serangan udara Israel


Dua rakyat Thailand maut konflik Hamas-Israel

Perdana Menteri Thailand mengesahkan dua rakyat negara itu maut dalam konflik Hamas-Israel.

Srettha Thaivisin mengesahkan perkara itu menerusi satu hantaran di platform X selepas menerima laporan daripada duta Thailand di Tel Aviv.

ARTIKEL PENUH:Dua rakyat Thailand maut konflik Hamas-Israel


Konflik Israel-Palestin: Seorang rakyat Thailand maut, 8 cedera, 11 jadi tebusan

Seorang rakyat Thailand maut, manakaka lapan cedera dengan 11 lagi antara yang dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas semasa serangan ke atas Israel.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Parnpree Bahiddha-Nukara berkata, Perdana Menteri, Srettha Thavisin secara rapat mengikuti perkembangan dan mengarahkan Kedutaan Diraja Thailand di Tel Aviv untuk menyediakan kemas kini masa nyata, menyelaras dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Israel dan berhubung dengan warga Thailand.

ARTIKEL PENUH:Konflik Israel-Palestin: Seorang rakyat Thailand maut, 8 cedera, 11 jadi tebusan


Syarikat penerbangan gantung jadual ke Israel

Beberapa syarikat penerbangan utama telah membatalkan puluhan jadualnya ke Tel Aviv pada hujung minggu ini susulan serangan mengejut Hamas pada awal pagi Sabtu.

Di papan ketibaan Lapangan Terbang Ben Gurion telah menyaksikan syarikat seperti American Airlines, Air France, Lufthansa, Emirates, Ryanair dan Aegean Airlines telah membatalkan jadual penerbangan mereka.

ARTIKEL PENUH:Syarikat penerbangan gantung jadual ke Israel


Israel mengaku tidak bersedia serangan mengejut Hamas

Duta Israel ke Perancis mengakui bahawa negaranya tidak 'bersedia secukupnya' berdepan serangan mengejut Hamas dengan menyalahkan kegagalan perkhidmatan perisikannya.

Kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan besar-besaran terhadap Israel dengan melancarkan 5,000 roket dari Genting Gaza ke Tel Aviv pada awal pagi Sabtu.

ARTIKEL PENUH:Israel mengaku tidak bersedia serangan mengejut Hamas


Konflik Hamas-Israel semakin sengit

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran mengenai 'peperangan panjang dan sukar' ketika pertempuran sengit dengan pejuang Hamas telah menyaksikan ratusan orang awam di kedua-dua belah pihak terkorban selepas serangan mengejut terhadap negara tersebut.

Serangan terbaharu itu dianggap paling dahsyat sejak beberapa dekad yang menyaksikan Hamas melancarkan serangan roket besar-besaran dari darat, udara dan laut pada Sabtu yang dikatakan Israel telah meragut nyawa lebih 250 orang rakyatnya manakala lebih 1,400 cedera dan askar dijadikan tebusan.

ARTIKEL PENUH:Konflik Hamas-Israel semakin sengit


Gaza: Maghribi kutuk serangan ke atas orang awam

Maghribi melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi yang semakin meruncing dan serangan terhadap orang awam berikutan tindakan ketenteraan di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga menggesa agar semua tindakan keganasan dihentikan serta-merta dan kembali kepada ketenangan, sambil mengelak segala bentuk peningkatan yang boleh menjejaskan peluang keamanan di rantau itu, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP).

ARTIKEL PENUH:Gaza: Maghribi kutuk serangan ke atas orang awam


9 Oktober 2023 (Isnin)

Serangan ke atas bangunan di Gaza dirakam secara langsung

Kezaliman Israel melancarkan perang ke atas Palestin berjaya dirakamkan secara langsung.

Detik serangan Israel yang mengenai bangunan di Gaza itu berjaya disiarkan dalam siaran berita yang bersiaran secara langsung.

ARTIKEL PENUH:Serangan ke atas bangunan di Gaza dirakam secara langsung


Demonstrasi pro-Palestin menentang sokongan AS terhadap Israel

Ratusan penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di Times Square di New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, bagi menentang sokongan AS terhadap Israel.

Beberapa penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis 'Tamatkan Bantuan AS' dan 'Penentangan Bukanlah Keganasan' sejak Sabtu.

ARTIKEL PENUH:Demonstrasi pro-Palestin menentang sokongan AS terhadap Israel


Perang Israel-Hamas: Angka korban di Gaza lebih 400, Israel 600

LEBIH 250 mayat telah ditemui di tapak festival muzik Supernova dalam serangan pejuang Hamas ke atas Israel.

Kerajaan Israel berkata, sekurang-kurangnya 600 individu terkorban dalam serangan itu, manakala lebih 2,000 lagi cedera dan 100 lagi diculik.

ARTIKEL PENUH:Perang Israel-Hamas: Angka korban di Gaza lebih 400, Israel 600


Lebih 123,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal - PBB

Lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dengan kira-kira 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan pada Ahad. Ini susulan serangan udara tentera zionis Israel bertindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada Sabtu.

ARTIKEL PENUH:Lebih 123,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal - PBB


OIC kutuk serangan berterusan tentera Israel terhadap rakyat Palestin

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin dan mencederakan ribuan yang lain.

OIC juga menyalahkan Israel atas peningkatan ketegangan itu, sambil menambah pendudukan berterusan adalah punca ketidakstabilan.

ARTIKEL PENUH:OIC kutuk serangan berterusan tentera Israel terhadap rakyat Palestin


Raja Jordan, Presiden UAE gesa hentikan konflik Palestin-Israel

Raja Jordan Raja Abdullah II dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Ahad telah membincangkan peningkatan aktiviti ketenteraan yang berbahaya di Gaza serta keperluan untuk rakyat Palestin dan Israel untuk mengawal tindakan mereka, lapor Xinhua.

Dalam panggilan telefon pada Ahad, pemimpin Jordan itu menekankan peranan penting UAE dalam mengawal keadaan dan menghentikan peningkatan ketenteraan, terutamanya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

ARTIKEL PENUH:Raja Jordan, Presiden UAE gesa hentikan konflik Palestin-Israel


10 pelajar Nepal terbunuh di Israel

10 pelajar Nepal terbunuh dalam keganasan pada Sabtu di Israel, kata kerajaan Nepal pada Ahad.

Empat lagi cedera dalam operasi yang dilancarkan terhadap sasaran Israel oleh kumpulan Palestin Hamas.

ARTIKEL PENUH:10 pelajar Nepal terbunuh di Israel


Sekolah agensi di Gaza rosak teruk dibom Israel

Sebuah sekolah milik Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) "terkena secara langsung" pengeboman dan "rosak teruk" dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, kata agensi itu lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Sekolah yang menampung lebih 225 orang itu rosak teruk,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

ARTIKEL PENUH:Sekolah agensi di Gaza rosak teruk dibom Israel


Konflik Hamas-Israel: Syarikat penerbangan elak ruang udara Israel

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menggesa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan juruterbang mengambil 'langkah ketat' semasa terbang di ruang udara Israel susulan konflik terbaharu Hamas-Israel.

Dalam kenyataan dikeluarkan Notis Misi Udara (NOTAM) itu sama dikeluarkan kerajaan Israel.

ARTIKEL PENUH:Konflik Hamas-Israel: Syarikat penerbangan elak ruang udara Israel


AS hantar kapal perang, jet pejuang ke Israel

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin pada Ahad berkata, Pentagon menghantar kapal perang dan jet pejuang ke Mediterranean Timur sebagai tanda sokongan kepada Israel di tengah-tengah peningkatan konflik antara tentera Israel dan Hamas, lapor Xinhua.

Austin dalam satu kenyataan berkata, beliau telah mengarahkan pergerakan USS Gerald R. Ford Carrier Strike Group yang terdiri daripada sebuah kapal pengangkut pesawat, sebuah kapal penjelajah peluru berpandu dan empat kapal pemusnah peluru berpandu ke Mediterranean Timur.

ARTIKEL PENUH:AS hantar kapal perang, jet pejuang ke Israel


Lebih 40,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal - MyCARE Gaza

Seramai lebih 40,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal dan telah berpindah akibat serangan berterusan tentera Israel sejak Sabtu.

Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, menurut Kementerian Pembangunan Sosial Palestin, kesemua mereka telah meninggalkan kediaman dan cuba mencari perlindungan termasuk di sekolah-sekolah.

ARTIKEL PENUH:Lebih 40,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal - MyCARE Gaza


Majlis keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar konflik Palestin-Israel

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad mengadakan rundingan tergempar secara tertutup berikutan serangan besar-besaran di Gaza, lapor Xinhua.

Majlis itu bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang dokumen selepas pertemuan tersebut.

ARTIKEL PENUH:Majlis keselamatan PBB adakan mesyuarat tergempar konflik Palestin-Israel


Rejim Zionis makin kejam, tiada hati perut

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant di bawah kerajaan ekstremis pada Isnin mengarahkan 'pengepungan sepenuhnya' ke atas Genting Gaza ketika rejim Zionis memperhebatkan operasi serangan balas ke atas Hamas.

"Gaza akan menjadi 'bandar mati', tiada bekalan elektrik, tiada bekalan makanan, minuman atau gas. Segala-galanya kini disekat dan kepungan ke atas wilayah tersebut semakin diperketatkan. Kita bertindak sewajarnya," ujarnya menerusi satu kenyataan video.

Sehari sebelum itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumpulkan kira-kira 100,000 anggota tentera simpanan berhampiran Genting Gaza.

ARTIKEL PENUH:Rejim Zionis makin kejam, tiada hati perut


Konflik Palestin-Israel tidak akan selesai - Tun M

Konflik antara Palestin dan Israel telah berlaku lebih tujuh dekad itu tidak akan menemui jalan penyelesaian kerana tindak balas negara-negara barat yang berkuasa termasuk media mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara barat dan media mereka bersifat hipokrit, taksub dan patologi kerana memilih untuk meneruskan naratif bahawa serangan ke atas Israel itu sebagai pengganas, namun kesalahan mereka jelas terhadap Hamas, Hizbullah dan Iran.

“Dengan naratif ini, mereka mencetuskan ketakutan dalam masyarakat barat dengan mendakwa ia adalah serangan terhadap demokrasi dan orang yang cintakan keamanan.

ARTIKEL PENUH:Konflik Palestin-Israel tidak akan selesai - Tun M


Sumber I Sinar Harian 


















........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo