PETALING JAYA: Seorang pemimpin dari Sarawak memberitahu arahan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan Minggu Solidariti bagi menyokong rakyat Palestin tidak wajib untuk negeri itu.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, beliau mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, yang tidak mewajibkan sekolah-sekolah di Sarawak melaksanakannya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu berkata, meskipun semua pihak menentang kekejaman dilakukan zionis Israel terhadap Palestin, namun, katanya, murid sekolah tidak wajar terlibat secara emosi dalam konflik dua negara berkenaan di usia yang masih muda.
“Saya mendapatkan pengesahan dengan Timbalan Menteri Pendidikan bahawa tidak wajib bagi sekolah-sekolah di Sarawak untuk menganjurkan program ini.
“Memandangkan kini sudah jelas program itu tidak diwajibkan kepada sekolah-sekolah di Sarawak, saya berharap pihak pengurusan sekolah-sekolah di Sarawak tidak akan merasa terpaksa dengan arahan untuk menganjurkan program sebegini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Chieng Jen berkata, menjadi pendirian DAP Sarawak juga bahawa KPM tidak seharusnya melibatkan pelajar sekolah dalam konflik politik antarabangsa Palestin dan Israel.
“Konflik ini sangat sangat beremosi dan rumit. Kemarahan dan kebencian biasanya dikaitkan dengan isu sedemikian.
“Saya percaya, ini bukan perkara yang kita mahu untuk anak-anak kecil kita terlibat semasa zaman kanak-kanak mereka di sekolah,” katanya.
Semalam, KPM dilaporkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.
Selain sekolah, arahan itu juga melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Beberapa wakil rakyat telah menyuarakan bantahan dengan antaranya berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman.
Media tempatan melaporkan memetik Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn sebagai berkata, langkah tersebut tidak bijak, manakala KPM dan jabatan pendidikan negeri sepatutnya berunding dengan kepemimpinan negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, anak-anak adalah pelapis masa hadapan dan kerajaan harus menumpukan kepada memperkasa kemahiran akademik dan teknologi semasa.
Bekas Ahli Parlimen Penampang itu berkata, ‘mengikat’ anak-anak muda dengan isu geopolitik yang rumit di luar skop Malaysia tidak mencerminkan kerajaan yang progresif dan bertanggungjawab.
“Mengapa kita mendorong dan mendedahkan ratusan ribu pelajar sekolah kepada konflik ini kerana naratif semasa yang direka yang akhirnya membuatkan mereka percaya bahawa adalah wajar bagi mereka menonton pembunuhan dan kematian tanpa penapisan di Gaza.
“…(atau di mana-mana sahaja di dunia) melalui mana-mana media sosial yang boleh diakses kerana kerajaan kita sendiri yang membenarkan konflik sebegitu dibincang di peringkat sekolah dahulu,” katanya.-UTUSAN
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment