Para jemaah haji negara dijangka berdepan kenaikan kos pada tahun depan sehingga 11 peratus, kata Lembaga Tabung Haji (TH).
TH berkata kenaikan tersebut ekoran pelbagai faktor di luar kawalan agensi berkenaan termasuk pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) di Arab Saudi, ia walaupun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat negara tersebut dan diberikan sambutan hebat.
Bagaimanapun, TH akan meneruskan bantuan kewangan haji atau subsidi secara bersasar untuk musim haji 1445H/2024M membabitkan jemaah dalam kategori B40 dan M40.
Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata TH tetap sedaya upaya memberikan bantuan kewangan haji, khususnya kepada golongan memerlukan dan berkelayakan.
Beliau menjelaskan, faktor penting menyebabkan peningkatan ketara kos bagi musim haji 1445H/2024M ialah situasi ekonomi semasa pasca pandemik Covid-19.
“Kita (sebelum ini) memang menjangkakan berlaku kenaikan setiap tahun bagi kos haji, iaitu sekitar lima hingga enam peratus setiap tahun untuk jangka panjang.
“Namun disebabkan pandemik Covid-19, kita menjangka kenaikan yang lebih, termasuk akibat peningkatan kadar inflasi dan situasi mata wang semasa, malah Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sekitar lima hingga enam peratus.
“Selain itu, Kerajaan Arab Saudi turut melakukan perubahan pada sistem mereka, termasuk bagi permohonan visa. Ini semua mempengaruhi kenaikan kos,” katanya dipetik laporan BH.
Beliau terdahulu menghadiri Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Bagi Musim Haji 1444H/2023M, di Dewan Besar TH hari ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dengan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Azman berkata, faktor lain yang juga di luar kawalan TH ialah pembangunan pesat sekitar Kota Makkah membabitkan penyediaan lebih banyak fasiliti meliputi pembangunan hotel mewah, terutama berdekatan Masjidil Haram.
Beliau menjelaskan, situasi itu memberi cabaran lebih besar kepada TH untuk musim haji akan datang, namun pihaknya akan mengekalkan kemudahan penempatan strategik dengan jarak lebih dekat kepada jemaah haji tanah air.
Malah, katanya, TH tetap sedaya upaya memberikan bantuan kewangan haji atau subsidi, khususnya kepada golongan memerlukan dan berkelayakan.
“Walaupun ada banyak cabaran besar dengan kebanyakan kos naik mendadak, kita masih cuba membantu. Tahun ini, bantuan bayaran haji yang dikeluarkan TH adalah sebanyak RM265 juta.
“Malah jika dilihat, peratus bantuan diberikan adalah tinggi berbanding kos sebenar haji. Contohnya untuk jemaah haji B40, bantuan diberikan hingga 63 peratus, manakala M40 pula sebanyak 50 peratus,” katanya.
Untuk rekod, TH meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar pada tahun ini walaupun kos ibadat itu naik kepada RM30,850 berbanding RM28,632 tahun lalu.
Bantuan itu membabitkan kategori B40 dan M40 yang mana jemaah haji B40 hanya perlu membayar RM10,980, manakala M40 pula menampung kos RM15,980.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment