NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Ketaksuban’ pengundi tegar BN, PH penentu kemenangan di Pelangai



BENTONG - Setelah 13 hari berkempen, jentera parti-parti bertanding yang bekerja keras siang dan malam menyantuni segenap lapisan masyarakat, sudah pastinya mengharapkan sokongan penuh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini, buat calon mereka untuk diangkat sebagai wakil rakyat baharu.

Bagi Barisan Nasional (BN), kesetiaan tidak berbelah bahagi pengundi ‘putih’ mereka amat ditagih dan sokongan pengundi bukan Melayu, pastinya akan memberi nilai berganda kepada majoriti undi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam.

Pensyarah Kanan Sains Politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abu Muis berkata, Pelangai yang menjadi kubu kuat BN di Pahang akan menyaksikan bagaimana kesetiaan ‘orang lama’, untuk mempertahankan parti itu daripada asakan apa yang dikatakan sebagai ‘gelombang hijau’.

"Contohnya di Felda yang mewakili majoriti pengundi di sini, undi golongan generasi pertama itu yang penting, yang mana akan menentukan sama ada mereka kekal setia mengundi BN atau sudah beralih, atau termakan dengan kempen Perikatan Nasional (PN) yang banyak memainkan isu nasional, terutamanya masalah bekalan beras.

"Jadi sepanjang kempen ini amat penting untuk BN dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), untuk cuba sebaik mungkin memastikan penyokong tegar mereka kekal dengan parti, selain berusaha sedaya upaya untuk memujuk mereka ini untuk keluar mengundi,” katanya kepada Bernama.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiga gugusan Felda di Pelangai iaitu Chemomoi, Sungai Kemahal dan Kemasul, mempunyai 7,983 pengundi yang mewakili kira-kira 48.5 peratus daripada keseluruhan 16,456 jumlah pengundi di DUN Pelangai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,976 pengundi berumur 40 tahun ke atas.

Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berpendapat, kedudukan undi bukan Melayu di Pelangai juga akan menjadi penentu kepada keputusan PRK Pelangai.

Beliau berkata, ia kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, kira-kira 80 peratus pengundi bukan Melayu meletakkan sokongan mereka kepada calon PH.

"Jadi, pada PRK ini kita nak lihat sama ada kumpulan ini yang dahulu undi PH, adakah akan memberikan undi mereka kepada calon BN, ini penentunya sekiranya mereka beri undi pada BN, kemenangan akan berpihak kepada parti itu Sabtu ini.

"Kerana undi Melayu dah berpecah dua, satu pihak ke Pas dan PN satu lagi ke BN dan PH,” katanya.

Pada PRU15, Datuk Seri Johari Harun yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, manakala calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa pula, menjangkakan peratusan keluar mengundi di PRK Pelangai tidak akan tinggi seperti PRU15, yang ketika itu menyaksikan jumlah keluar mengundi mencecah 78.5 peratus.

Nur Ayuni berkata, sekiranya situasi itu berlaku, mungkin berpunca daripada perantau yang memilih untuk tidak pulang menunaikan tanggungjawab mereka, akan memberi kelebihan kepada BN memandangkan kebanyakan golongan yang masih menetap di Pelangai, merupakan ahli parti, pengundi tegar dan penyokong BN atau PH.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan komposisi pengundi Melayu yang mencecah kira-kira 75 peratus, peluang PN untuk menawan Pelangai tidak boleh dinafikan, terutamanya jika ada peralihan undi.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim yang sekali lagi diturunkan mewakili PN dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhashi.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Johari dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. - Bernama






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo