NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan manfaat RM237 juta bina 6 fasiliti sukan Sukma



KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM276 juta oleh kerajaan pusat bagi membina enam kemudahan sukan di negeri ini untuk persediaan sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata kemudahan itu melibatkan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau dan Pusat Akuatik Madinah Al-Salam, Tunjong, di sini.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM164.35 juta bagi kos pengambilan tanah, kerja-kerja awalan tanah dan penyediaan infrastruktur Kompleks Sukan Bukit Merbau serta Pusat Akuatik.

“Projek pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau adalah salah satu komponen utama dalam permohonan kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Kerajaan Negeri Kelantan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM276 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan kemudahan sukan di Kelantan untuk persiapan penganjuran Sukma.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata pembangunaan Madinah Al-Riadhah seluas 64.15 hektar melibatkan 10 pembangunan utama merangkumi stadium utama, lapang sasar, arena tertutup, stadium hoki, padang bola sintetik dan lain-lain.

“Sebagai melengkapi pembangunan prasarana sukan sebuah tapak sekolah sukan seluas 7.2 hektar disediakan bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan sukan selain melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa.

Ketika ini sebanyak RM18.15 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi tujuan pengambilan balik tanah untuk mencukupkan tapak pembangunan keseluruhan sebagaimana perancangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan RM62 juta bagi kerja tanah dan kerja-kerja berkaitan untuk pembangunan jalan masuk serta tapak enam venue sukan, selain RM53 juta bagi tujuan pembinaan infrastruktur Madinah Al-Riadhah Bukit Merbau yang kini berada di peringkat akhir penyelarasan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebuah Pusat Akuatik, Tunjong bernilai RM25 juta telah diluluskan dan kerja tanah bernilai RM7.7 juta diperuntukkan, selain sebuah trek basikal lasak di Bukit Bakar, Machang dibangunkan melibatkan kos pembangunan RM1.7 juta.

Sebuah dewan badminton bernilai RM11 juta turut akan dibina di Madinah Al-Salam, Tunjong selain beberapa perancangan lain di lokasi yang sama,” katanya.

Katanya pembangunan berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2026 sebagai persiapan menganjurkan Sukma di Kelantan buat julung kali pada pertengahan 2028 nanti. – BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo