Saya menjadi wakil rakyat sejak 2013 lagi, ini adalah penggal ketiga. Sejak 2013 pelbagai bantuan sekadar mampu telah disalurkan kepada rakyat, sama ada sumbangan asnaf, bantuan persekolahan, sumbangan hari raya Aidilfitri/Aidiladha, membina rumah budi, membaiki rumah rakyat, bantuan persekolahan, bencana alam dan lain-lain adalah dari usaha sendiri, sama ada dari sumbangan ahli dan penyokong atau apa jua ikhtiar seperti kata orang ‘asal jadi duit’, begitu juga dengan rakan-rakan wakil rakyat pembangkang yang lain, kami membantu apa yang kami mampu.
Kami pernah merasakan kemudahan mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri pada tahun 2020 dan 2021 ketika zaman Muafakat Nasional (MN) kemudian dihentikan. Peruntukan tersebut kembali diuruskan oleh penyelaras.
Kami kembali berusaha membantu rakyat dengan dana sendiri, berusaha untuk membantu rakyat mengikut kemampuan, ada yang kami tunaikan dan ada yang tidak mampu kami tunaikan, tidak mampu bantu semuanya, kami bantu sebahagian. Ini menunjukkan betapa berusahanya kami membantu rakyat walau dalam keadaan peruntukan kami disekat secara zalim.
Kalau sekiranya ada rakyat datang mengadu kepada YAB Menteri Besar bahawa bahawa wakil rakyat mereka dari pembangkang tidak mampu untuk membantu, ini juga bermakna bahawa penyelaras yang dilantik untuk menguruskan peruntukan tidak berfungsi dan ke mana duit yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat sehingga ada rakyat yang meminta?
Penyelaras sepatutnya agresif membantu rakyat, bukan hanya tahu pegang peruntukan tapi tidak tahu nak disalurkan sehingga rakyat mengadu pada Menteri Besar. Semak ke mana duit peruntukan itu disalurkan?
Jangan nak salahkan pembangkang, orang tak kisah sangat kalau pembangkang tak mampu untuk bantu sepenuhnya kerana semua rakyat tahu kami tak ada peruntukan, tapi kami tetap juga membantu, tapi penyelaras lantikan Umno yang uruskan peruntukan tu buat apa?
Elok YAB Menteri Besar berhati-hati bila keluarkan kenyataan, ‘nak selak kain orang tapi lupa diri sendiri tak pakai kain’.
Setelah DYMM Pemangku Raja Pahang bertitah supaya diberikan peruntukan sama rata kepada ADN pembangkang kenapa tidak diberi? Tiba-tiba diberikan kepada orang yang kalah pilihan raya, orang lain menang orang lain yang dapat peruntukan.
Insya-Allah setakat ini tiada wakil rakyat kami yang hilang dari radar, masih berada di dalam DUN, tak pernah main sorok-sorok dengan rakyat walaupun tiada peruntukan, kami tak lari ke Kuala Lumpur atau ke mana pun, kami tetap bersama rakyat yang mengundi kami.
Sekian daripada wakil kepada wakil-wakil rakyat pembangkang. Kami hanya menjawab tuduhan.
ROSLI ABDUL JABAR
ADN Tanjung Lumpur. – HARAKAHDAILY 28/9/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment