PETALING JAYA: Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan bahagian penguatkuasaan kementerian menghubungi Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengenai dakwaan kartel beras.
Armizan berkata, arahan dikeluarkan semalam itu bagi mendapatkan maklumat dan sebarang bukti untuk membantu siasatan lanjut dakwaan itu, dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak.
Beliau berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang menyentuh kepentingan rakyat sebagaimana siasatan menyeluruh yang telah dilaksanakan mengenai dakwaan terkait kartel dalam ekosistem industri bekalan makanan ayam sebelum ini.
“Peranan dan tanggungjawab KPDN hadir dalam penguatkuasaan bagi elemen-elemen tertentu yang terkait dengan Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Perihal Dagangan.
“Namun, sekiranya ada dakwaan yang disebut berkaitan kartel beras, KPDN boleh melaksanakan siasatan melalui MyCC yang mempunyai kuasa menyiasat kartel di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya menurut Bernama selepas satu program di Sabah.
Pada Isnin, Akmal dilaporkan mendakwa adanya kartel beras menggunakan modus operandi menjual beras tempatan sebagai beras hancur, kerana beras hancur boleh dijual dengan harga bukan kawalan.
Armizan berkata, dalam tadbir urus kerajaan, pihak terlibat dalam pembangunan dan penguatkuasaan padi dan bekalan beras berkaitan bekalan dan harga dari peringkat pengilangan sehingga peruncitan adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras.
Nilai semula hukuman ‘khianat’ subsidi
Sementara itu, Akmal ketika bercakap di Melaka, menuntut hukuman sebatan atau penjara dikenakan ke atas mana-mana pihak atau kartel yang memanipulasi bekalan beras dalam negara.
“Jika kita lihat hukuman paling tinggi yang ada pada hari ini ialah sekadar kompaun dan ia masih mampu dibayar mereka walaupun denda dikenakan mencecah RM100,000 jika melakukan kesalahan tersebut.
“Tindakan ini bukanlah semata-mata untuk menghukum, namun lebih kepada memberi peringatan kepada mereka agar jangan ada yang berani mengambil kesempatan dengan mengkhianati subsidi sedangkan rakyat tertekan dan sukar mendapatkan bekalan beras,” kata exco kemajuan desa pertanian dan keterjaminan makanan Melaka.
Beliau berkata, tidak berlaku pembelian panik di negeri itu kerana sememangnya beras tempatan sukar didapati.
“Tiada pembelian panik berlaku di Melaka kerana kalau kita lihat bekalan beras tempatan pun sukar didapati, cuma saya minta rakyat Melaka tidak membeli beras dalam kuantiti banyak dan saya rasa 10kg itu cukup untuk menampung dalam tempoh seminggu, selain memberi peluang kepada orang lain untuk membeli sama,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment