NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kalau kerajaan tak bela undang-undang syariah, PN akan bertindak



KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memberi amaran kepada Kerajaan Perpaduan agar lantang membela undang-undang syariah dan hukum ditetapkan Islam supaya ia tidak dicabar pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya langkah itu tidak diambil kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka PN akan bertindak.

“Saya beri amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ini (tindakan mecabar undang-undang syariah) menyentuh umat Islam, Allah dan institusi diraja.

“Kalau PH tidak mahu bertindak, kami (PN) akan bertindak. Bagaimana kami mahu bertindak, tunggu dan lihat,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024, di Dewan Rakyat, hari ini. 

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ketegasan itu perlu kerana syariah Islam kini dicabar.

“Sekarang ini pandai-pandai cabar Islam, cabar mahkamah syariat. Ini satu kerja yang orang Islam tidak boleh biarkan sekali-kali.

“Keadaan yang munasabah, kalau nak bawa ke mahkamah, kita pergi, ke mana pun kita pergi sehingga kita berjaya pertahankan kedaulatan syariat ini.

“Bukan bermakna kita menafikan hak orang bukan Islam, sebab dalam Perlembangaan Persekutuan kebebasan kaum lain dijamin, ini dipersetujui parti yang terlibat dalam kemerdekaan,” katanya lagi. 

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menyebut secara spesifik pihak mana yang mencabar undang-undang syariah. 

Ogos lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan telah mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel bersidang mendengar petisyen difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.

Ketika menolak permohonan itu, Hakim Tengku Maimun menarik perhatian semua pihak dan menegaskan, petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa kerajaan supaya tegas, lantang dan berterusan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas akibat pendudukan Israel.

Abdul Hadi menegaskan Malaysia wajar menjadi pihak yang lantang mendesak Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Beliau berkata, ia bagi membolehkan rejim zionis dan sekutunya diadili susulan penindasannya ke atas Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya minta kerajaan Malaysia mesti ke hadapan, tegas dan bertindak. Berani walaupun (negara) kita kecil, berani kerana benar.

“(Malaysia perlu) desak supaya mereka yang terbabit dalam keganasan Israel dan sekutunya dihadapkan ke ICJ. Ini sangat penting dan mesti dilakukan bersungguh-sungguh,” katanya. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo