RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual untuk bacaan kedua dan dibahaskan esok, dilaporkan ditangguhkan. |
PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak teragak-agak dalam memerangi ketagihan nikotin susulan laporan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang semula di Dewan Rakyat untuk dibahaskan esok, ditangguhkan.
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib memberitahu FMT: “Lebih baik bertindak daripada bercakap mengenainya. Lebih lama RUU ini ditangguh, besar kemungkinan lebih ramai kanak-kanak dan orang muda mula ketagih nikotin.”
Beliau mengulas perkara itu susulan laporan bahawa RUU berkenaan yang dijadual untuk bacaan kedua dan dibahaskan, dilapor ditangguhkan untuk memberi laluan kepada urusan kerajaan yang lain.
RUU itu kali pertama dibentangkan pada Julai tahun lalu tetapi ditentang beberapa Ahli Parlimen. RUU yang disemak dibentangkan pada Jun dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa belum mengesahkan penangguhan itu, lapor New Straits Times.
Azrul berkata tindakan Kementerian Kesihatan menyebabkan lebih banyak masalah apabila mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun, membolehkan produk itu boleh didapati di kaunter untuk vape dan e-rokok.
Katanya, tidak ada perlindungan untuk menghalang penjualan e-rokok dan produk vape kepada sesiapa, termasuk kanak-kanak bawah umur.
“Setakat hari ini, tiada peraturan atau rangka kerja undang-undang yang mengawal pengeluaran, pembungkusan, pemasaran, penjualan dan penggunaan peranti ini.”
Beliau berkata penyahsenaraian nikotin, tanpa melaksanakan perundangan dan peraturan sesuai, “bukan sahaja mengejutkan mereka yang terlibat dalam kesihatan awam dan kawalan tembakau tetapi juga mendapat perhatian antarabangsa”.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta, Dr Steven Chow, berkata RUU itu nampaknya mengabaikan sama sekali bukti saintifik yang menunjukkan bahawa pengurangan bahaya tembakau boleh berkesan dengan rangka kerja kawal selia yang sesuai.
Beliau berkata New Zealand dan Australia, peneraju dalam bidang itu, telah melakukan persediaan sejak berdekad untuk menghadapi peralihan itu. “Di Malaysia, kami masih belum memulakan program yang bermakna,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment