KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada masa ini, seharusnya mempunyai bidang kuasa penuh dari aspek pengawalan dan penguatkuasaan bidang pertanian, agar golongan petani tidak teraniaya angkara kartel pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, isu padi beras di negara ini perlu dilihat secara harmoni dan holistik kerana ianya melibatkan semua rantaian pengeluaran yang bermula dari sawah padi sehingga beras masuk dalam periuk rakyat untuk dimasak.
Ini berikutan pada 3 Oktober yang lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) terkejut dengan tindakan pengilang yang menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 per metrik tan ke harga lantai RM1,200.
Harga terbaharu itu adalah lebih rendah berbanding RM1,285 yang diterima pada musim lalu, menyebabkan pesawah berasa tertipu atas pengumuman kenaikan harga padi.
Menurut beliau, golongan pesawah pada masa ini dikatakan telah berhadapan dengan kartel pertanian ibarat ‘mentimun lawan durian’.
“Dalam apa sahaja situasi mereka menjadi mangsa keadaan walaupun sehabis daya keringat telah dicurahkan.
“Tentu sekali para petani tersepit untuk terus bangkit dalam situasi kos input pertanian yang terus meningkat tetapi harga jualan padi yang merupakan sumber pendapatan utama mereka tidak meningkat sehingga menjadikan kitaran pengeluaran tidak seimbang,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Tambah Dr Azman, secara umumnya sudah pasti sudah diketahui siapakah yang membekalkan racun, baja dan padi benih kepada petani dengan mengaut keuntungan berganda?
“Subsidi kerajaan mereka kaut, petani pun mereka perah. Akhirnya kartel ini yang kaya memerah titik peluh petani sementara petani terus merintih dan dituduh pula pemalas!” tegasnya.
“Bagaimana petani boleh kekal bertahan jika KPKM sendiri tidak bertindak bijak untuk menyelesaikan masalah dari puncanya dan sekadar mengambil tindakan populis sekerat jalan yangtidak akan sampai ke mana-mana.
“Golongan petani adalah rakyat miskin yang telah lama ditekan. Mereka tersepit menjadi mangsa keadaan,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata, pada masa ini pihak kerajaan dan pengilang perlu bersikap adil dan bertimbang rasa kepada golongan petani.
“Pihak kerajaan juga seharusnya mengkaji semula bagi menetapkan harga siling beras yang munasabah. Harga padi dan beras perlu diselaraskan dan diseimbangkan kepada harga yang lebih adil antara petani, pengilang dan pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment