Menteri pertanian dan keterjaminan makanan dijadual memberikan penerangan berhubung isu bekalan BPT pada sidang Dewan Rakyat hari ini. |
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT), situasi semasa jerebu yang melanda negara serta kesiapsiagaan kerajaan menghadapi banjir akan menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) meminta menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup menyatakan strategi dan usaha kementerian mengawal kenaikan mendadak harga barang, khususnya barangan keperluan rakyat, sejak kebelakangan ini.
Isu berkaitan banjir pula dikemukakan Shahidan Kasim (PN-Arau) yang ingin tahu jumlah dan lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) kekal yang berjaya dibina setakat ini.
Pertanyaan diajukan kepada perdana menteri itu berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada 31 Jan lepas bahawa kerajaan akan membina PPS kekal di lokasi yang sentiasa mengalami banjir di seluruh negara.
Selesai sesi soal jawab, menteri pertanian dan keterjaminan makanan dijadual memberikan penerangan berhubung isu bekalan BPT, manakala menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim memberikan penerangan berkaitan situasi jerebu yang melanda negara.
Menteri pertahanan turut dijadual memberi penjelasan berhubung Kumpulan Boustead, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), manakala menteri dalam negeri akan menerangkan isu reformasi penjara dan pusat tahanan.
Sebelum bermulanya sesi penerangan oleh kesemua menteri berkenaan, enam rang undang-undang bagi meminda beberapa akta juga akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama.
Ini termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023, RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 dan RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023.
Turut akan dibentangkan RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 dan RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment