Permasalahan yang timbul dalam negara berpunca apabila adanya “menteri kewangan sambilan” dalam kerajaan ketika ini, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bekas menteri kesihatan itu berkata sedemikian selepas timbul kontroversi caj DuitNow QR semasa perbincangan dalam program Keluar Sekejap dengan menyifatkan isu tersebut tidak sepatutnya berlaku.
“Dan dalam keadaan di mana tidak ada menteri kewangan sepenuh masa, ada menteri kewangan sambilan, saya rasa benda-benda remeh macam ini sepatutnya tidak menjadi masalah yang membebankan kerja perdana menteri sambilan kita ini,” kata Khairy.
DuitNow QR ialah perkhidmatan pembayaran digital diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), sebuah syarikat gabungan beberapa bank komersial utama, dengan Bank Negara Malaysia sebagai pemegang saham majoriti.
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dirinya sebagai menteri kewangan akhir tahun lalu dikecam secara meluas sebagai satu lagi perubahan beliau.
Satu ketika dahulu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dipimpinnya menggesa agar jawatan itu tidak dipegang oleh perdana menteri, dan berhujah kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu memegang dua jawatan sama seperti Anwar.
Sementara itu, Khairy dalam podcast edisi hari ini berkata terdapat perbincangan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi khuatir dengan sebarang cubaan untuk melantik Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai menteri kewangan kedua, di tengah-tengah jangkaan rombakan Kabinet.
Beliau berkata inilah sebabnya Zahid mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan, dengan harapan Johari, yang dilihat tidak setia kepada Zahid, akan diberikan jawatan itu.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment