BAITULMAQDIS: Sekitar 600 warga Israel dan 400 warga Palestin terbunuh selepas tentera Israel dan pejuang Hamas bertempur pada Ahad, sehari selepas serangan Hamas yang mengakibatkan angka korban tertinggi di Israel dalam tempoh 50 tahun.
Penyusupan terbesar kumpulan Hamas ke Israel dalam tempoh beberapa dekad itu boleh menjejaskan usaha yang disokong Amerika Syarikat (AS) untuk membentuk keselamatan serantau, yang boleh mengancam aspirasi Palestin mencapai taraf negara dan harapan Iran, iaitu penyokong utama kumpulan itu.
Serangan itu memberi perlindungan kepada anggota Hamas yang menyusup ke kawasan Israel dari Gaza, tempat tinggal 2.3 juta penduduk Palestin.
Penyusupan sedemikian oleh Hamas tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kumpulan Hamas membunuh sekurang-kurangnya 600 warga Israel dalam pertempuran itu dan kembali ke Gaza dengan membawa berpuluh-puluh tebusan.
Lebih 300 penduduk Gaza pula terbunuh apabila Israel membuat serangan balas yang dahsyat.
Tentera Israel memerangi kumpulan Hamas sepanjang malam di bahagian selatan Israel.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata di media sosial bahawa keadaan tidak di bawah kawalan sepenuhnya.
Pertempuran yang meningkat itu berlaku berlatarkan keganasan yang meningkat antara Israel dengan kumpulan Palestin itu di Tebing Barat yang diduduki Israel, di mana pihak berkuasa Palestin menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad, yang ditentang oleh Hamas.
Tebing Barat telah menyaksikan serbuan Israel yang meningkat, serangan di jalanan terhadap rakyat Palestin dan serangan oleh peneroka Yahudi di perkampungan Palestin.
Keadaan rakyat Palestin bertambah buruk di bawah pemerintahan parti sayap kanan pimpinan, Benjamin Netanyahu, yang juga Perdana Menteri Israel.
Usaha mencari perdamaian telah terhenti selama bertahun-tahun.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, berkata serangan yang bermula di Gaza itu akan merebak ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Penduduk Gaza telah hidup di bawah sekatan Israel selama 16 tahun.
Dalam ucapannya, Haniyeh menekankan ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa, sekatan berterusan Israel ke atas Gaza dan jalinan hubungan diplomatik antara Israel dengan negara-negara di rantau itu.
Menyusuli serangan terbesar terhadap Israel itu, Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, telah menuju ke Moscow, Russia, pada Ahad untuk berbincang dengan Menteri Ehwal Luar Russia, Sergei Lavrov, berhubung perkembangan di Gaza.
Menurut jurucakap Liga Arab yang berpangkalan di Mesir itu, Ahmed akan berbincang mengenai pertempuran yang meningkat di Semenanjung Gaza.
Russia melahirkan keprihatinan besar serta menggesa Palestin dan Israel menghentikan keganasan selain menyalahkan negara Barat kerana menyekat Kuartet Timur Tengah, yang dibentuk AS ,Kesatuan Eropah (EU), Russia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beberapa negara Arab lain termasuk Arab Saudi, Qatar, Oman dan Bahrain, menggesa Israel dan Palestin segera meredakan keadaan, lapor Gulf News.
Arab Saudi antara lain berkata mereka sedang memantau perkembangan yang menyebabkan keganasan meningkat di rantau itu dengan rapat.
Mereka juga menggesa masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab dan menyokong proses keamanan yang berwibawa serta membawa ke arah rumusan dua negara.
Sementara itu, Bahrain pula menekankan perlunya bagi semua pihak meredakan keadaan demi menyelamatkan nyawa.
Tambahnya, pertempuran yang berterusan mempunyai kesan yang negatif pada keamanan dan kestabilan rantau itu.
Presiden AS, Joe Biden, pula menawarkan segala sokongan yang sewajarnya kepada Israel menyusuli serangan itu dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bermusuh dengan Israel supaya tidak mengambil kesempatan.
Dalam pada itu, Israel turut menyerang kawasan selatan Lubnan pada Ahad selepas kumpulan Hezbollah dari Lubnan menyasarkan tiga pos tentera Israel di Shebaa Farms, sebuah kawasan yang dipertikai.
Hezbollah, sebuah parti yang disokong Iran, berkata mereka melancarkan serangan itu sebagai perpaduan dengan penduduk Palestin. - AGENSI
No comments
Post a Comment