Naib Presiden Idris Ahmad berkata cubaan membezakan zaman pimpinan PAS hanya mainan DAP termasuk dakwaan parti itu zalim kepada bukan Islam. |
SHAH ALAM: PAS menafikan layanan dan pendekatan berbeza kepada bukan Islam bawah pimpinan Presiden Hadi Awang dengan era Nik Aziz Nik Mat sebagai mursyidul am.
Naib Presiden, Idris Ahmad, berkata perbandingan itu hanya dakyah pihak tertentu terutama DAP untuk menunjukkan PAS parti Islam yang tidak adil dan ekstrem.
“Dia (layanan) tidak berbeza, pendekatan itu jugalah dimainkan, pada zaman Nik Aziz pun sama. Kita bercakap soal ‘Islam for all’, itu dah lama dan terbukti.
“Ketika Hadi menteri besar Terengganu pada 1999, dia juga beri keadilan kepada bukan Melayu di Terengganu. Dari segi demografi penduduk bukan Islam di Terengganu lebih kecil daripada Kelantan, tapi kita beri keadilan kepada semua.
“…dan kita tahu bagaimana mutakhir ini orang bukan Melayu pun tidak beri sokongan kepada kita, namun kita tetap servis. Sebagai pemimpin dalam kerajaan kita tetap beri keadilan, yang miskin kita bantu walaupun mereka tidak sokong kita,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS kali ke-69.
Idris berkata, cubaan membezakan zaman pimpinan PAS hanya mainan DAP termasuk dakwaan parti itu zalim kepada bukan Islam.
“Kena ingat DAP keluar Barisan Alternatif pada 2001 ketika itu Nik Aziz mursyidul am, Fadzil Noor presiden. Waktu itu DAP ugut keluar kerana PAS nak mengemukakan dokumen negara Islam.
“DAP akan main sentimen apabila orang ikut dia, maka itulah kawan baik dia, bila tak ikut, itulah orang yang gembar-gembur sebagai musuh kepada DAP. Kita wujud (Dewan Himpunan Pendukung PAS) bukti kita toleransi kepada bukan Islam,” dakwanya.
Sementara itu, Idris berkata sehingga kini tiada perbincangan dalam kalangan kepimpinan untuk menjalin kerjasama dengan Umno dan fokus hanya kepada memperkukuh kerjasama dengan parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN).
Ditanya mengenai keluhan Ahli Parlimen pembangkang yang masih berharap peruntukan daripada kerajaan, beliau berkata mereka boleh memberi bantuan di kawasan masing-masing sekadar mampu kerana rakyat memahami.
“Rakyat pun faham apa berlaku hari ini dan saya ada pengalaman jadi wakil rakyat selama lima tahun pada 2013 tidak ada peruntukan. Kita bagilah sekadar kemampuan, kita bagi sikit pun dia tahu kita tidak ada apa,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment