Malaysia berpotensi menuai lebih banyak pingat dan menambah kutipan emas di Sukan Asia Hangzhou, kata ketua kontinjen negara Chong Kim Fatt. (Gambar Bernama) |
HANGZHOU: Pencapaian kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 memberi gambaran bahawa peruntukan dana lebih besar diperlukan untuk memacu industri sukan tanah air ke tahap terbaik.
Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou, Chong Kim Fatt menyifatkan faktor kewangan mempunyai peranan besar dalam kemajuan sukan seperti yang dilakukan kuasa besar antaranya juara keseluruhan China, Jepun, Korea Selatan dan India.
Beliau, yang juga naib presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), berkata perkara itu disuarakan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt ini.
“Memang kita perlukan lebih geran untuk majukan sukan di Malaysia,” katanya pada sidang media rumusan prestasi kontinjen negara di Sukan Asia ke-19.
Pada masa sama, Kim Fatt berpuas hati dengan prestasi kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran 27 pingat selepas mengumpul keseluruhan 32 dengan pecahan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa.
Katanya, Malaysia mempunyai potensi menuai lebih banyak pingat dan menambah kutipan emas sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang turut bersama kontinjen.
Namun, beliau berkata disebabkan jumlah atlet seramai 288 tidak sebesar kontinjen ke Jakarta-Palembang 2018 kira-kira 400 atlet, nisbah atlet setiap pingat bertambah baik dengan satu pingat untuk sembilan atlet.
Azizulhasni, yang juga pemenang emas dalam acara pecut individu lelaki pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, terpaksa menarik diri susulan kecederaan yang dialami sewaktu sesi latihan di Velodrom Nasional di Nilai.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata pada edisi kali ini Malaysia kehilangan 12 pingat akibat sukan tenpin boling dan pencak silat tidak dipertandingkan, selain ketiadaan Azizulhasni.
“Tetapi kontinjen kita telah buktikan bahawa tanpa boling, pencak silat dan Azizulhasni, mereka masih lagi berjaya membawa pulang 32 pingat keseluruhan termasuk enam emas, kurang satu emas berbanding edisi 2018,” katanya.
Pungutan keseluruhan 32 pingat termasuk enam emas, menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan ketiga terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Thailand yang meraih 12 emas, 14 perak, dan 32 gangsa; diikuti Indonesia dengan 7-11-18.
Juara bertahan China mengekalkan dominasi selaku kuasa besar Sukan Asia sejak edisi 1982 di New Delhi, India apabila mengumpul 201-111-71; diikuti Jepun (52-67-69) dan Korea Selatan ketiga dengan 42-59-89.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment