Kerajaan perlu mengeluarkan mekanisme yang jelas tentang bagaimana Cukai Keuntungan Modal (CGT) berfungsi untuk mengelakkan cukai berganda, kata KPMG Malaysia.
Ketua bahagian cukainya, Soh Lian Seng berkata pada masa ini, Malaysia mengutip cukai ke atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan saham dalam syarikat hartanah di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, lapor Bernama.
“Mungkin, penjelasan diperlukan apabila orang ramai tidak pasti bagaimana mekanisme itu akan berfungsi. Orang ramai kemudiannya akan cenderung berfikir bahawa ia adalah sistem yang sukar. Jadi, nasihat saya adalah biarlah kita tunggu sehingga mekanisme itu dikeluarkan.
“Adalah penting bagi perniagaan untuk menunggu garis panduan dan perundangan yang jelas, dan percaya bahawa tempoh peralihan yang munasabah serta kemungkinan pengecualian penting untuk pelaksanaan yang berjaya,” katanya pada sidang meja bulat media pasca Belanjawan 2024 Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM), di sini, hari ini.
Sementara itu, Soh berpendapat CGT akan memberi kesan jangka pendek ke atas perjanjian penggabungan dan pemerolehan (M&A), memandangkan kurangnya pemahaman tentang cara mekanisme itu berfungsi.
Beliau berharap mekanisme itu boleh memberikan pengecualian separa tertentu kepada beberapa urus niaga berpotensi utama.
“Dengan itu, diharapkan ia tidak menghalang apa juga inisiatif M&A yang mereka ada. Jika anda bertanya kepada saya pada masa ini, saya akan katakan ya, (dan) dengan perundangan dan garis panduan yang jelas, semoga ia dapat diselesaikan,” katanya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan menguatkuasakan pengenaan 10 peratus CGT ke atas saham dalam syarikat tidak tersenarai berkuat kuasa 1 Mac, 2024, dengan pengecualian tertentu untuk pelupusan saham yang berkaitan dengan aktiviti tawaran awam permulaan, penstrukturan semula dalaman dan syarikat modal teroka.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment