NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

El Nino dijangka lebih ekstrem akibat pemanasan global



KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino dijangka lebih ekstrem dengan peningkatan suhu dan pengurangan taburan hujan di seluruh negara tahun ini, susulan faktor pemanasan global ketika ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata lazimnya El Nino yang berintensiti kuat akan memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara, khasnya pada fasa akhir Monsun Timur Laut dan musim selepasnya.

Beliau berkata, fenomena itu dapat dilihat pada 1997 hingga 1998 dan 2015 hingga 2016.

“Bagi menghadapi fenomena El Nino ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersiap siaga lebih awal, iaitu saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Bil 1 2023 pada 26 Mei 2023 dan Bil 2 pada 12 Sept 2023.

“Mesyuarat ini diadakan bertujuan melaporkan status terkini keadaan cuaca, tinjauan cuaca, status kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat, di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan.”

Nik Nazmi berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2023 “Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut” menerusi Facebook Live Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.

Beliau berkata, beberapa langkah proaktif turut dilaksanakan, antaranya pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan memperkasa pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P).

Dalam perkembangan lain, katanya, MetMalaysia juga membangunkan sistem ramalan awal bagi memantau kemungkinan kebakaran hutan dan tanah gambut dalam negara dikenali sebagai Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS).

Menurutnya, sistem itu ditambah baik dengan keupayaan untuk menyediakan maklumat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan berserta capaian kepada Web Map Service (WMS) yang membolehkan sistem itu bersifat interaktif dan mesra pengguna.

“Saya amat percaya dan yakin, MetMalaysia sentiasa komited dan peka dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana cuaca ekstrem dan banjir mahupun cuaca panas.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), melalui Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan, sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi.”

Nik Nazmi berkata, projek sedemikian mampu mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada dan meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa serta penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat.

Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo