Penerbit Gerakbudaya memohon maaf atas reka bentuk buku itu, tetapi berkata ia tidak berniat menghina atau mempersendakan lambang negara. |
PETALING JAYA: Editor buku kontroversi “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, Kean Wong, yang ditahan semalam dibebaskan hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek dibebaskan selepas tempoh reman sehari ke atasnya tamat.
“Suspek berumur 58 tahun, dan dipercayai menetap di Sydney, Australia. Dia ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa memohon memperbaharui pasport pada 16 Okt (semalam).
“Suspek sudah dibebaskan pada 17 Okt (hari ini) setelah tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Semalam, media melaporkan editor terbabit ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya semasa memohon pembaharuan pasport.
Dia kemudian dilaporkan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Buku itu terpalit kontroversi kerana imej pada kulitnya yang mirip jata negara, dengan seorang kanak-kanak bogel di atas bulan dan bintang, bentuk dua harimau diubah suai dan seekor buaya di bawahnya.
Penerbit Gerakbudaya memohon maaf atas reka bentuk itu, tetapi berkata ia tidak berniat menghina atau mempersendakan lambang negara.
Buku itu mengandungi analisis politik dan laporan PRU14 pada 2018 yang menandakan berakhirnya penguasaan Barisan Nasional selama enam dekad.
Ia diharamkan pada Julai 2020 susulan aduan berhubung kulitnya, termasuk karikatur jata negara.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment