Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Kuala Terengganu: Kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kemaman dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu disifatkan bukan disebabkan politik wang.

Sebaliknya, kekalahan BN itu kerana sentimen rakyat yang inginkan pola perubahan politik yang bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negeri.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, pihaknya melihat pola politik di Terengganu sangat berbeza dengan negeri-negeri yang lain dalam konteks politik semasa.

Beliau berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN)-PAS pada PRU-15 dipengaruhi banyak faktor antaranya adalah gabungan Pas dalam PN selain pengaruh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Menteri Besar Terengganu diangkat sebagi idola atau tokoh profesionalisme politik yang dilihat mampu untuk mentadbir Terengganu dengan baik pada masa kini.

"Saya berpandangan, kekalahan BN pada PRU-15 adalah bukan kerana politik wang, namun kerana sentimen rakyat yang inginkan pola perubahan politik yang bukan sahaja di Terengganu saja.

"Saya melihat diseluruh negeri kerana beberapa kelemahan pentadbiran di peringkat pusat yang dilihat sebagai sebab kepada perubahan kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan nanti, Hussain berkata, dalam pilihan raya nanti, beliau melihat PN dapat mengekalkan semula kerusi yang dipertandingkan seperti di Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, seperti yang sedia maklum pentadbiran Pas di Terengganu adalah faktor atau indikator yang memberikan kelebihan kepada Pas untuk mengekalkan kemenangan.

"Saya berpendapat isu-isu semasa berkaitan tekanan hidup rakyat iaitu kos harga barang dan sebagainya memberi kelebihan kepada Pas untuk terus mengekalkan kemenangan.

"Dalam masa yang sama, pola pengundian anak muda di Terengganu lebih cenderung kepada PN berdasarkan statistik kemenangan sebelum ini," katanya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said menegaskan kekalahan BN di Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih 27,000 undi bukan disebabkan kesilapan meletakkan calon dalam PRU-15 lalu.

Beliau yang juga bekas calon BN bagi Parlimen Kemaman dalam PRU-15 mendakwa unsur rasuah yang berleluasa adalah punca utama kekalahan itu.

Pada PRU-15 lalu, Che Alias Hamid dari Pas menang majoriti 27,179 undi dengan meraih 65, 714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Ahmad (38,535 undi), manakala calon Pakatan Harapan (PH) Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506 undi).

Sumber | HMetro