Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, belanjawan MADANI yang mencatatkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara menyaksikan, Belanjawan 2024 merupakan belanjawan menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.
Belanjawan 2024 menunjukkan sebanyak RM393.8 bilion, meningkat sebanyak dua peratus daripada tahun lepas.
Didapati, belanjawan mengurus adalah RM303.8 bilion, menunjukkan peningkatan 5 peratus. Manakala belanjawan pembangunan adalah RM90 bilion, yang menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus.
Beliau berkata, sepatutnya Perdana Menteri perlu memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Namun begitu, didapati cukai perkhidmatan dinaikkan dari 6 peratus kepada 8 peratus, kecuali makanan, minuman dan telekomunikasi.
“Secara realistik, akan berlaku rantaian kenaikan cukai kerana kos pengangkutan, kos logistik dan kos bahan mentah akan meningkat dan seterusnya menyebabkan kos makanan, minuman dan telekomunikasi turut akan meningkat,” jelas beliau kepada HarakahDaily.
Tambahnya, dari sudut ekonomi global pula, nilai Ringgit Malaysia (RM) kian jatuh ke paras terendah iaitu RM3.75 setiap 1 Dolar Amerika (AS$).
“Walaupun negara kita adalah pengeluar minyak dunia, namun, kebergantungan kita kepada bahan-bahan import menyebabkan harga bahan mentah bakal meningkat dengan mendadak.
“Akibatnya, harga makanan turut akan menerima tempias. Kita lihat, masih samar lagi usaha-usaha yang mahu dilakukan oleh Kerajaan Madani untuk mengukuhkan Ringgit dalam Belanjawan 2024,” ujarnya.
Oleh itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan turut mencadangkan tiga langkah jangka pendek bagi mengukuhkan nilai Ringgit, agar dibahaskan di Parlimen oleh wakil-wakil rakyat.
“Pertama, pergiatkan kempen pembelian barangan buatan tempatan. Kedua, rancakkan lagi sektor pelancongan dalam negara.
“Ketiga, melaksanakan kawalan Ringgit dengan pengeksport menukarkan hasil mereka dalam mata wang asing kepada ringgit,” hujahnya.
Katanya lagi, ini semua adalah antara langkah yang dilihat mampu menyokong sementara permintaan terhadap ringgit.
Sementara, berkenaan isu cukai baharu yang diperkenalkan, ujar beliau, Kerajaan Madani perlu memperincikan pengurusan hasil cukai yang diambil daripada rakyat.
“Pastinya memperkenalkan cukai baharu, iaitu cukai mewah pada kadar 5 hingga 10 peratus adalah satu tindakan yang wajar kerana ia tidak membabitkan golongan berpendapatan rendah atau miskin tegar.
“Pada masa yang sama, kerajaan perlu memberikan pengecualian cukai kepada ibu bapa dan penjaga untuk yuran latihan sukan bagi menggalakkan penglibatan sukan oleh anak-anak dan pengecualian cukai untuk sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menggalakkan penglibatan ibu bapa bersama-sama pembangunan sekolah anak-anak.
“Sekarang ini, peruntukan untuk sekolah-sekolah daripada kerajaan adalah tidak mencukupi,” tegasnya..
Justeru dari sudut subsidi, tidak jelas mengenai isu subsidi minyak dan diesel yang mahu ditarik balik atau melaksanakan subsidi bersasar.
“Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan sekadar menceritakan bahawa minyak dijual di negara kita adalah antara terendah di dunia.
“Seolah-olah memberi bayangan secara halus bahawa akan berlaku perubahan kepada subsidi minyak, seterusnya minyak RM 1.50 seliter sekadar menjadi retorik janji palsu waktu pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment