NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akta Kesatuan Sekerja 1959 : Ahli parlimen PH-BN celaru, kejap sokong, berlakon peduli – Wan Saiful

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa terdapat kecelaruan pada blok kerajaan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat ketika membincangkan isu pindaan kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Ketika sesi perbahasan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membawa beberapa isu penting untuk pertimbangan kerajaan antaranya isu kebajikan pekerja ekonomi gig di mana pekerja sektor ekonomi gig sukar untuk mewujudkan sebuah kesatuan sekerja sehingga mengakibatkan tidak ada satu kesatuan sekerja untuk mereka.

Menerusi laman Facebook Datuk Wan Saiful Wan Jan, beliau mengatakan terdapat kecelaruan dalam kalangan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkaitan isu bolehkah diwujudkan kepelbagaian kesatuan sekerja.

“Bagaimanapun dalam kalangan Ahli Parlimen Kerajaan PH-BN jelas wujud kecelaruan terutamanya berkaitan isu bolehkah dibenarkan wujudnya kepelbagaian kesatuan sekerja.

“Beberapa Ahli Parlimen Kerajaan bangun dan mempersoalkan cadangan pindaan yang dibawa oleh kerajaan yang akan membolehkan wujudnya kepelbagaian kesatuan sekerja,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Jelasnya, bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran V. Murugeson juga memberi pandangan berkenaan isu kecelaruan pandangan dari blok kerajaan ketika Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar sedang memberikan penjelasan.

Tambah Saiful, yang lebih pelik adalah apabila cadangan pindaan dibuka untuk undian, ahli-ahli parlimen kerajaan semuanya melaung bersetuju walaupun sebelum itu mereka sendiri yang menimbulkan persoalan dan menuntut penambahbaikan.

Seolah-olah kerajaan tidak mempunyai mekanisme untuk berkongsi hala tuju secara bersama sehingga backbencher sendiri tertanya-tanya.

“Pelik juga saya melihat bagaimana Ahli Parlimen PH-BN boleh sokong dengan begitu mudah walaupun dalam perbahasan bunyi seolah-olah mereka begitu mengambil berat hal ini. Inilah dia kerajaan yang berlakon peduli,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan digesa untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) bagi membantu menjaga kebajikan pekerja dan majikan dengan membenarkan kesatuan sekerja ditubuhkan merentasi trend pekerjaan atau industri.

Pindaan akta tersebut dilihat dapat menambah bilangan kesatuan sekerja yang merupakan jambatan menghubungkan antara pekerja, majikan dan juga kerajaan. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo