Bermula hari ini, Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan menggunakan peranti elektronik seperti telefon bimbit di atas meja bagi membuat penstriman langsung menerusi media sosial mereka ketika sedang berucap di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata ini memandangkan tindakan berkenaan jelas tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), yang mengkehendaki Ahli Parlimen untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi, lapor Bernama.
“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat ‘live streaming’ (penstriman langsung) dalam Dewan Rakyat,” katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata ketika ini, persidangan Dewan Rakyat boleh ditonton melalui YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.
Menjawab celahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang tidak bersetuju dengan arahan tersebut, Johari menjelaskan tindakan itu dilakukan apabila beliau mendapati Ahli Parlimen hilang fokus di Dewan Rakyat, apabila bercakap atau berinteraksi dengan audiens menerusi media sosial.
“Apabila anda (Ahli Parlimen) berinteraksi dengan audiens anda, tumpuan anda tidak lagi terhadap Dewan. Saya perhati, saya duduk atas saya nampak, dia (Ahli Parlimen) akan laraskan setengah jam (peranti), jadi dia tidak terus berbincang masalah rakyat dalam Dewan Rakyat tapi dia berkomunikasi dengan audiens dia, ini sangat teruk,” katanya.
Beliau berkata Ahli Parlimen boleh menggunakan klip video daripada YouTube rasmi Parlimen Malaysia untuk kegunaan pengisian kandungan dalam media sosial masing-masing sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Johari berkata bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada lebih ramai untuk mengutarakan soalan bagi setiap pertanyaan pada sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Perdana Menteri dibenarkan untuk menjawab dua pertanyaan dengan diperuntukkan 15 minit bagi setiap pertanyaan
Menurut Johari perkara itu selaras Peraturan Mesyuarat 100 dan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 24(5A) dan 24A(7).
“Peruntukan masa setiap pertanyaan ini membolehkan lebih soalan tambahan diajukan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk setiap pertanyaan. Pemasyhuran ini berkuat kuasa pada esok, Selasa, 17 Okt 2023,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment