Sekumpulan wartawan terkemuka dan pemantau kebebasan media bersatu membantah amaran dan ugutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini terhadap saluran media, termasuk mengarahkan portal berita MalaysiaNow untuk menurunkan laporan mengenai kekecohan di Parlimen baru-baru ini atau bersedia untuk "tindakan penguatkuasaan lanjut".
Dalam kenyataan bersama itu, 19 individu dari seluruh media cetak dan penyiaran serta dua kumpulan berkepentingan turut mengingatkan SKMM supaya tidak mengajar wartawan cara menulis laporan yang baik dan adil, selepas suruhanjaya itu cuba mempertahankan amarannya kepada MalaysiaNow dalam berdepan kritikan yang semakin memuncak terhadap cubaan untuk menyekat kebebasan media.
"Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah 'dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan' sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan.
"Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?" menurut kenyataan itu, sambil menambah insiden di Dewan Rakyat pada 19 September, bagi menunjukkan ahli Parlimen berkelakuan tidak sopan Parlimen, disiarkan secara langsung untuk tatapan semua.
"Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya."
Sambil melahirkan kebimbangan dengan beberapa amaran baru-baru ini, termasuk memanggil pengarang dan menyekat portal berita oleh SKMM, mereka berkata tindakan suruhanjaya itu mempertahankan ancaman terbarunya terhadap MalaysiaNow menunjukkan kedangkalannya dalam "memahami peranan dan tanggungjawab media".
"Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya.
"Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan.”
Menurut kumpulan itu walaupun mereka memahami bahawa tiada kebebasan media yang mutlak, namun media yang bebas dan bertanggungjawab adalah penting agar demokrasi berfungsi dengan baik.
Pada 20 September, SKMM, pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui Fahmi Fadzil, memberi tempoh dua jam kepada portal berita MalaysiaNow untuk menurunkan laporannya beritanya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Tambun melemparkan tuduhan terhadap wakil rakyat Perikatan Nasional Radzi Jidin.
Menurut SKMM, ia “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”, merujuk kepada perkataan "Tambun peliwat" yang diungkapkan oleh Radzi.
Radzi membangkitkan sabitan lalu Anwar kerana meliwat selepas beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan speaker tiada salahnya Anwar membuat tuduhan jika beliau yakin dengannya.
MalaysiaNow enggan memenuhi tuntutan SKMM, dengan berkata ia tidak akan tunduk kepada tekanan dalam menjalankan tugas kewartawanannya.
Insiden itu menyebabkan wartawan veteran A Kadir Jasin, yang juga antara individu yang menandatangani kenyataan hari ini, mengajukan soalan kepada SKMM adakah menjadi satu kesalahan bercakap mengenai kes mahkamah sebelum ini membabitkan perdana menteri.
"Setelah 10 bulan memerintah, tindak-tanduk sesetengah pemimpin kerajaan perpaduan dan agensi-agensi yang berkaitan dengan media massa memberi gambaran mereka kurang toleransi terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.
“Ada yang sampai membuat aduan polis," kata Kadir, yang pernah mengetuai syarikat akhbar The New Straits Times Press.
Badan pemantau media antarabangsa Reporters Without Borders (RSF), yang menerbitkan indeks tahunan untuk menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia, mengecam ancaman yang dikenakan terhadap portal berita MalaysiaNow, menggesa SKMM menghentikan "tekanan terhadap pengamal media yang mengkritik kerajaan".
"RSF mengecam arahan penapisan yang dikeluarkan oleh SKMM terhadap laporan MalaysiaNow mengenai kekecohan di Parlimen," kata RSF, yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap langkah SKMM menyekat beberapa laman berita di negara itu, dalam catatan di Twitter pada Jumaat.
Dalam responsnya, SKMM berkata mereka ingin “menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen”.
“Pemerhatian SKMM mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), SKMM meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita,” tambahnya.
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment