KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia yang berarak lebih dua kilometer dari Kampung Baru ke pusat beli belah Sogo, di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti 25 individu yang terlibat dalam perhimpunan itu.
Beliau memberitahu, mereka adalah termasuk 16 individu yang berucap pada perhimpunan itu.
"Kita sudah menghubungi 22 individu setakat ini dan enam daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi esok (Isnin)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut Allaudeen memberitahu, antara enam individu yang akan memberi keterangan adalah Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Pada Sabtu, sekumpulan peserta perhimpunan berarak dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru ke kompleks Sogo selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah.
Perarakan diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.
Tun Faisal bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, semalam polis memaklumkan, himpunan berkenaan didapati tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan 2012. - Awani
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment