NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan ‘agresif’ terhadap Himpunan RXZ disebabkan politik?



Tindakan tegas polis terhadap program motosikal anjuran sebuah kelab baru-baru ini menarik perhatian sehingga ada yang mengaitkannya dengan campur tangan politik.

Penganjur program Himpunan RXZ Members 5.0 Mohamad Faizal Mat Ali di Kuala Terengganu, Terengganu hujung minggu lalu, menyifatkan tindakan polis yang membuat sekatan jalan semasa program itu sangat luar biasa.

Katanya, sepanjang lima kali penganjuran acara itu diadakan, ini kali pertama mereka berdepan dengan tindakan polis yang begitu agresif biarpun permit program sudah diluluskan. 

"Memang salah tetap salah, itu kita akui. Ada yang datang dalam keadaan  tidak ikut undang-undang itu kita tak nafikan. 

“Kita faham tugas polis cuma yang kita kecewa sekatan polis itu agak keterlaluan sebab dibuat betul-betul depan pintu program.

 “Di pintu depan dan belakang. Umpama kita dikepung," katanya kepada MalaysiaNow. 

Motosikal Yamaha RXZ yang mempunyai enjin berkuasa 135cc popular dalam kalangan golongan muda di Malaysia sejak tahun 1980-an hingga awal 2000.

Kini pengeluarannya sudah dihentikan dan menjadi motosikal klasik.

Faizal mendakwa cara layanan diterima mereka sangat berbeza dalam penganjuran program sebelum ini di mana polis hanya mengadakan sekatan jalan di daerah-daerah dan kawasan sempadan sahaja. 

Katanya, paling menghairankan polis tidak mengadakan sekatan jalan dalam penganjuran program yang sama ketika dirasmikan perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas. 

"Sebab itu kita tak faham kenapa ada layanan berbeza. Ada yang kata kita perlu jemput perdana menteri rasmi program baru tak kena tindakan sangat.

“Tapi sebenarnya kita dah buat pun, cuma tidak ada jawapan dari pihak beliau," katanya.

Polis dan kerajaan dikritik hebat di media sosial kerana dikatakan agresif membuat sekatan jalan raya disebabkan campur tangan atau tekanan daripada pihak atasan termasuk pemimpin politik. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menyapu bersih kesemua 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada Februari, Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail melabelkan golongan muda yang menyokong dan menyumbang undi kepada Perikatan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada pendapatan tetap.

Beliau yang juga menteri dalam negeri mendakwa hal itu dibuktikan melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh PH selepas PRU15 pada November tahun lalu.

“Peratus pengundi muda dan medium pendapatan maknanya purata pendapatan, kita dapati bahawa semakin tinggi pelajaran semakin stabil pendapatan dia, hat (yang) lepas pilihan raya baru ni  depa (mereka) ni undi kita (PH).

“Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap, hat  naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (PN),” katanya ketika berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, pada 25 Februari lalu.

Tunggang secara berbahaya

Bagaimanapun, polis Terengganu menafikan mensabotaj acara itu, dengan ketua polis negeri Mazli Mazlan berkata mereka bertindak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan aduan daripada orang awam terhadap penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan mengganggu ketenteraman awam.

Beliau juga menolak cadangan wujud unsur politik, berkata operasi itu adalah latihan rutin untuk menjaga keselamatan awam. 

Menurutnya, sebanyak 185 motosikal disita dan 292 saman dikeluarkan sepanjang dua hari di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. 

Sebanyak 37 kemalangan juga dilaporkan, empat daripadanya maut. 

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin dalam pada itu berkata sebanyak 134 kesalahan direkodkan walaupun hanya 1.34% peserta ditahan kerana melanggar undang-undang.

RXZ Members merupakan acara tahunan yang menyaksikan ribuan pemilik motorsikal klasik yang popular Yamaha RXZ berkumpul di Terengganu bagi meraikan motorsikal ikonik itu. 

Faizal berkata, program kali ini yang diadakan di litar permotoran di Gong Badak, menarik kehadiran sekitar 60,000 peserta, penyertaan paling terbesar sejak program itu dianjurkan.

Pada masa sama beliau turut kesal ada pihak mengaitkan program itu dengan politik apabila dibuat di Terengganu kerana ditadbir oleh PN.

Katanya, kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai kaitan dengan program itu kerana ia adalah program kelab motor tersebut. 

“Terengganu cuma dijadikan lokasi sahaja memandangkan penganjur semua dari Terengganu kita dapat permintaan untuk buat di negeri ini. 

“Jadi sebenarnya tak ada kaitan dengan politik langsung. Kita panggil wakil kerajaan negeri untuk rasmi pun atas dasar hormat tuan rumah yang beri kebenaran tempat untuk program. 

“Tidak semestinya di pihak kerajaan negeri sahaja. Seperti yang saya kata tadi kita ada jemput Perdana Menteri Anwar Ibrahim tapi tak ada balasan,” katanya.  


Sumber I MalaysiaNow 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo