ADA pihak yang memetik ucapan saya dalam ceramah di Pulai pada 2 September 2023 di luar konteks. Mereka telah memanipulasi ucapan saya kononnya saya telah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Pulai.
Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan PH. Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat.
Saya tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH. Saya hanya secara berkias menyebut ‘saya bagi hukum haram’ dengan tiada niat bahawa ianya adalah fatwa hukum syarak. Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut ‘ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.’
Sebagai seorang yang faham mengenai hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama. Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulamak dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.
Saya percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapan saya semasa ceramah tersebut faham maksud saya. Berdasarkan respon hadirin pada malam itu saya yakin mereka tidak mengambil kenyataan saya secara serius sebagai suatu fatwa agama.
Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
PERIKATAN NASIONAL
6 September 2023
Sumber Asal: FB Tan Sri Muhyiddin
Kenapa yang mendakwa kenyataan itu adalah FATWA , tidak didakwa atau dituduh berniat jahat? Sedangkan semua tahu hanya MUFTI yang boleh mengeluarkan FATWA!
ReplyDelete