NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada keperluan wujudkan semula KR1M era Najib, kata pakar ekonomi



Pakar ekonomi menolak cadangan untuk mewujudkan semula Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang pernah diwujudkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak.

Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal-Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata beliau “agak skeptikal” dengan cadangan itu kerana ia tidak berjaya sebelum ini.

"Ia sudah dijangkakan.

“Untuk aktiviti ekonomi berjaya, ia perlu bertindak balas terhadap rangsangan pasaran terutamanya isyarat harga," katanya kepada MalaysiaNow. 

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh memaklumkan akan mengkaji cadangan tersebut.

Katanya, ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik jualan Rahmah.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru kerajaan mewujudkan semula inisiatif era Najib itu ekoran kenaikan harga barang yang melampau baru-baru ini, terutama membabitkan barang makanan.

"Hari ini, ramai mula menyedari betapa bergunanya kedai berkenaan di saat harga barang keperluan naik.

“Adalah diharap, kerajaan akan mengkaji semula KR1M," menurut ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu.

KR1M dilaksanakan Najib sebagai inisiatif membantu rakyat berdepan kenaikan harga barangan.

Ia pernah ditutup sementara pada 2017, enam tahun selepas dilancarkan kerana kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan. 

Najib mengumumkan KR1M 2.0 semasa pembentangan Belanjawan 2018. 

Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kerajaan pusat pada 2018 kemudian meneliti semula keperluan kedai tersebut. 

Pengarah urusan rangkaian peruncitan Mydin, Ameer Ali Mydin pernah mengkritik inisiatif itu kerana syarikatnya kerugian lebih RM100 juta akibat pembabitan dengan KR1M.

Beliau mengkritik KR1M 2.0 sebagai “satu jenaka”.

Carmelo berkata, harga sesuatu barang ditentukan pasaran dan tidak boleh ditetapkan pihak berkuasa. 

"Harga politik, secara teknikalnya tidak boleh ditakrifkan sebagai harga dan akibatnya, gagal untuk menjalankan fungsi transmisi maklumat sebenar.

"Ini mengakibatkan kita tidak tahu apa yang perlu dijual, pada kadar berapa banyak dan berapakah harganya. Ia tidak boleh berfungsi."

Dalam pada itu, Carmelo berkata inflasi sedang bergerak perlahan namun ia tidak bermakna harga barangan menurun. 

Katanya, harga sekarang sedang bergerak arah “harga normal”.

"Inflasi dalam kebanyakan kes didorong oleh kerajaan.

“Apa yang sepatutnya dilakukan ialah mengurangkan kuasa kerajaan dalam menghasilkan inflasi."


Sumber I MalaysiaNow 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo