NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SKMM ugut tindakan ke atas MalaysiaNow, tuntut padam laporan kekecohan di Dewan Rakyat

Tangkap layar laporan MalaysiaNow mengenai kekecohan di Dewan Rakyat semalam, yang mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menuntut agar portal itu meminda atau menurunkannya.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menuntut MalaysiaNow meminda atau menurunkan laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat semalam, memberi tempoh dua jam untuk berbuat demikian atau berdepan "tindakan penguatkuasaan lanjut", dalam siri terbaharu ancaman terhadap media oleh pengawal selia internet itu. 

Dalam mesej ditandakan "sulit" walaupun dihantar ke e-mel am pengarang MalaysiaNow, SKMM merujuk kepada dua laporan diterbitkan semalam, "Blok PN keluar, 'Tambun peliwat' bergema di Dewan Rakyat selepas PM serang Radzi" dan versi Bahasa Inggerisnya, "Pandemonium, walkout after PM refuses to retract accusation against Putrajaya MP", serta kiriman Twitter berkait dua artikel itu. 

Menurut SKMM, ia “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”.

SKMM bagaimanapun tidak memberikan versinya mengenai insiden itu.

“Kerjasama pihak Tuan/Puan dengan ini dipohon untuk meminda atau menurunkan kandungan berkenaan, termasuk mana-mana posting, video, dan kandungan lain yang berkait dengannnya di semua akaun media sosial di bawah kendalian Malaysia Now dalam kadar segera (dalam tempoh 2 jam) bagi mengelakkan pelakuan kesalahan atau cubaan pelakuan kesalahan di bawah akta Komunikasi dan Multimedia 1998," menurut e-mel yang dihantar oleh "Jabatan Analisis Kandungan" SKMM pada 4.54 petang tadi.

E-mel tersebut memberi amaran bahawa kegagalan untuk mematuhi "arahan ini" akan membawa kepada "tindakan penguatkuasaan lanjut diambil ke atas laman sesawang MalaysiaNow (https://www.malaysianow.com/)". 

MalaysiaNow bagaimanapun tetap dengan laporannya mengenai insiden itu di Dewan Rakyat semalam, yang menyaksikan perang mulut di kalangan ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin tidak puas hati dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau terlibat dalam tuduhan rasuah. 

Tuntutan berkali-kali Radzi supaya Anwar menarik balik tuduhannya itu ditolak, manakala Speaker Johari Abdul berkata tiada isu jika perdana menteri yakin dengan apa yang dinyatakannya.

Ini menyebabkan Radzi berang dengan mengatakan bahawa beliau juga boleh menyatakan beliau yakin bahawa Anwar, yang juga ahli parlimen Tambun, adalah seorang peliwat, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat oleh pemimpin PKR itu sebelum ini.

"Kalau kata yakin, saya kata saya yakin Tambun peliwat, saya yakin Tambun peliwat," kata Radzi, sebelum rakan-rakan ahli parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional bertindak keluar sebagai membantah speaker yang enggan menuntut Anwar menarik balik kenyataannya.

Dalam e-melnya hari ini, SKMM, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital diketuai oleh Fahmi Fadzil, secara khusus merujuk kepada beberapa frasa dalam laporan MalaysiaNow semalam, termasuk "Tambun peliwat" dalam tajuk bahasa Melayu, di samping petikan yang berkata bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang tercetus disebabkan tuduhan rasuah Anwar terhadap Radzi dan keengganan speaker untuk menuntut perdana menteri menarik balik.

Editor MalaysiaNow Abdar Rahman Koya berkata portal itu tidak akan tunduk kepada tekanan, sambil menambah bahawa ia hanya menjalankan tugas kewartawanannya untuk melaporkan apa yang berlaku di Parlimen untuk manfaat dan bacaan umum.

“SKMM dan Fahmi masih belum memberikan penjelasan kepada kami mengenai sekatan yang dikenakan ke atas laman kami pada Jun lalu,” katanya merujuk kepada sekatan 48 jam yang bermula pada 27 Jun lalu. 

Sekatan sama turut dikenakan ke atas TVPertiwi, UtusanTV, Malaysia Today, serta blog politik dikendalikan bekas ahli Parlimen Bukit Bintang Wee Choo Keong, dalam siri tindakan yang menyaksikan tekanan terhadap media seperti mana di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. 

Tekanan itu menerima kecaman sekumpulan wartawan veteran bulan lalu, yang berkata Putrajaya memainkan peranan sebagai "Big Brother". 

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan," menurut kenyataan bersama yang ditandatangani oleh wartawan terkemuka Johan Jaaffar dan A Kadir Jasin; bekas pengerusi Bernama Azman Ujang; bekas ketua pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab; serta beberapa lagi aktivis veteran media.

Sementara itu, badan antarabangsa pemantau media Reporters Without Borders (RSF) turut mengecam kerajaan Malaysia dan menggesa kementerian diterajui Fahmi segera menamatkan sekatan.

"RSF sangat prihatin dengan gelombang penggantungan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau kawalan kehakiman, terhadap portal berita yang mengkritik kerajaan. 

"Kami menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil supaya menghentikan tindakan sekatan ini, yang hanya boleh memberi kesan negatif kepada demokrasi Malaysia," kata RSF dalam kenyataannya awal bulan ini.


Sumber I MalaysiaNow 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo