Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini membidas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung ancamannya terhadap portal berita yang menerbitkan berita "tidak sopan" atau "mengelirukan", mengatakan tindakan tersebut tidak berperlembagaan.
Penyelaras Kempen LFL Nabila Khairuddin berkata hak kebebasan bersuara termaktub dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan hak itu hanya boleh disekat seperti diperuntukkan oleh undang-undang setakat yang perlu seperti dinyatakan dalam Perkara 10(2)(a), "demi kepentingan keselamatan, ketenteraman awam, atau moral".
“Bagi SKMM tindakan menyekat berita ‘tidak sopan’ atau ‘mengelirukan’ sewenang-wenangnya menunjukkan ketidakpedulian sepenuhnya terhadap undang-undang dan kurang menghormati Perlembagaan.
"Siapa yang menentukan bahawa berita itu mengelirukan, tidak tepat, atau tidak sopan? Membenarkan kerajaan memutuskannya, perkara ini akan membawa kita ke arah pemerintahan diktator,” katanya.
Pada 20 September, SKMM, pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui Fahmi Fadzil, memberi tempoh dua jam kepada portal berita MalaysiaNow untuk menurunkan laporannya beritanya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Tambun melemparkan tuduhan terhadap wakil rakyat Perikatan Nasional Radzi Jidin.
Menurut SKMM, ia “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”, merujuk kepada perkataan "Tambun peliwat" yang diungkapkan oleh Radzi.
Radzi membangkitkan sabitan lalu Anwar kerana meliwat selepas beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan speaker tiada salahnya Anwar membuat tuduhan jika beliau yakin dengannya.
MalaysiaNow enggan memenuhi tuntutan SKMM, dengan berkata ia tidak akan tunduk kepada tekanan dalam menjalankan tugas kewartawanannya.
SKMM berkata mereka ingin “menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen”.
“Pemerhatian SKMM mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), SKMM meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan, Nabila berkata ini adalah "ugutan yang disengajakan dan serangan berbahaya" oleh SKMM ke atas media yang mengkritik kerajaan, sambil menambah menindas perbezaan pendapat dan akhbar kritis adalah "ciri utama pemerintahan autokratik".
“Malah, menjadi peranan media untuk mempertanggungjawabkan kerajaan secara bebas sambil membolehkan orang ramai lebih bermaklumat dan terlibat dalam keputusan dan dasar yang memberi kesan kepada mereka.
“Sudah tentu bukan peranan media dalam negara demokrasi untuk ‘menghormati’ kerajaan atau perdana menteri.”
Sambil menggesa kerajaan berhenti menggunakan SKMM dan agensi lain di bawah kuasanya untuk menyekat maklumat yang mengkritik pihak berkuasa, beliau berkata jika kerajaan mendapati sebarang laporan sebagai “tidak tepat atau mengelirukan”, ia perlu menerbitkan kenyataan umum untuk membetulkan maklumat yang didakwa tidak tepat itu.
"Apa yang mereka tidak boleh lakukan ialah mendakwa, menghukum, atau menutup organisasi berita kerana menerbitkan berita 'tidak tepat'.
"Tugas kerajaan bukan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk menegakkan hak itu selaras dengan perlembagaan,” katanya.
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment