Sanusi (kanan) turut meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Anak Bukit. |
ALOR SETAR - Projek tebatan banjir di Pendang dan Anak Bukit masih belum siap sepenuhnya menyebabkan kedua-dua daerah berkenaan sering dilanda banjir.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kedua-dua projek berkenaan merupakan kesinambungan daripada projek Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) namun masih gagal disiapkan sehingga kini.
Beliau berharap apabila kedua-dua projek tebatan banjir tersebut dapat disiapkan, ia akan dapat mengurangkan risiko banjir di beberapa lokasi ‘hot spot’ di negeri ini.
“Projek tebatan banjir yang belum siap lagi di Pendang dan Anak Bukit, bermula dari RMK9 namun tak siap sampai sekarang. Saya harap bila semua projek siap, akan dapat kurangkan kawasan terjejas banjir,” katanya di sini pada Khamis.
Sanusi memaklumkan proses pengambilan tanah bagi menyiapkan projek tebatan banjir khususnya di Pendang masih dilakukan dan berharap ia lancar mengikut jadual.
“Kita ada buat pengambilan balik tanah, kelulusan pengambilan itu di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Pindaan) untuk projek tebatan banjir melibatkan beberapa lot tanah,” ujarnya.
Menurutnya, projek tebatan banjir tidak akan dapat mengekang banjir sepenuhnya kerana ia turut dipengaruhi faktor lain, antaranya pengaliran air, hujan lebat berterusan dan sistem saliran dan pengairan.
“Contoh di Pendang kita ada isu banjir termenung, iaitu air banjir itu termenung tak tahu nak pergi ke mana, kena tunggu diserap oleh tanah, sebabnya aliran tak berapa elok.
“Saya percaya selepas siapnya projek tebatan banjir di situ, air banjir tak termenung lagi,” katanya.
Sanusi turut memberitahu, kesemua sistem saliran di sungai-sungai utama di negeri ini berada dalam keadaan yang memuaskan.
“Kalau musim hujan memanglah akan banjir juga cuma sekarang ini pergerakan air dari kawasan hulu sedang turun menuju ke laut dari Padang Terap melalui Pokok Sena dan akan pergi ke Kuala Kedah sebelum sampai ke muara,” jelasnya lagi.
Menurutnya, semua agensi kerajaan yang terlibat dalam pengendalian banjir sentiasa siap siaga di beberapa lokasi ‘hotspot’ terutama di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.
“Saya ingin beri peringatan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan patuh arahan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika perlu.
“Kebanyakan mangsa banjir tinggal dekat sungai. Diharap air cepat surut supaya mereka boleh pulang ke rumah masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan berupa pek makanan kepada mangsa banjir di daerah terjejas.
“Bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ada prosedur ditentukan dan perlu ada laporan polis. Namun kebiasaannya duit NADMA lambat sikit dan akan diserahkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Saya harap ia dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kemalangan jiwa sepanjang musim banjir.
“Jagalah anak masing-masing sebab budak-budak memang seronok main air banjir, pantau mereka sebab ada arus deras jika longkang besar, hati-hati lah elak tragedi,” katanya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment