Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam kenyataan polis bahawa permohonan untuk demonstrasi "Selamatkan Malaysia" di Kuala Lumpur esok ditolak, mengatakan tiada keperluan sedemikian di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).
Pengarah LFL Zaid Malek berkata kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan polis sama ada jahil atau salah tafsir undang-undang.
"Keperluan itu menyatakan bahawa polis hanya perlu dimaklumkan mengenai perhimpunan.
“Selepas menerima notis, polis boleh mengenakan sekatan dan syarat kepada perhimpunan itu tetapi mengikut akta berkenaan mereka tidak mempunyai kuasa menafikan hak sesiapa sahaja untuk berkumpul," katanya.
Shuhaily pada sidang media semalam berkata permohonan untuk perhimpunan itu ditolak kerana penganjur tidak menyatakan secara terperinci termasuk lokasi dan nama penganjur sendiri.
“Kami tidak boleh kata terima notis pemakluman sebab maklumat diberikan tidak lengkap, maka polis tidak boleh terima,” katanya.
Demonstrasi itu dianjurkan Perikatan Nasional (PN) bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara yang menghentikan perbicaraan kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Badan pemantau pilihan raya Bersih juga sebelum ini berkata APA hanya memerlukan penganjur perhimpunan untuk memberitahu pihak berkuasa, "tidak perlu memohon permit atau kelulusan seperti zaman dahulu".
Zaid berkata respons Shuhaily menunjukkan polis sebenarnya sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan yang akan datang, dan bantahan itu hanya mengenai butiran dalam notis itu.
"Membaca antara baris, kita boleh membuat kesimpulan bahawa notis itu diberikan lima hari sebelum perhimpunan akan datang, kerana ia tidak disebut sebagai salah satu sebab ketidakwajaran notis yang didakwa oleh polis," katanya.
“OCPD (pegawai bertanggungjawab bagi daerah polis) dengan itu akan mempunyai masa yang mencukupi untuk menjelaskan dengan penganjur mengenai butiran perhimpunan sekiranya mereka ingin butirannya dijelaskan, kerana mereka diberi kuasa untuk melakukannya.
"Kegagalan berbuat demikian adalah di atas tanggungjawab mereka, dan polis kini tidak boleh berpaling dan mengatakan bahawa penganjur melanggar keperluan APA dan dengan itu notis itu 'tidak dibenarkan' melalui sidang media."
Beliau juga menyatakan Seksyen 14(1) PAA menghendaki OCPD menjawab pemberitahuan dalam tempoh tiga hari jika sebarang sekatan atau syarat akan dikenakan ke atas perhimpunan itu.
"Di luar kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, tidak ada menyebut bahawa terdapat sebarang jawapan seperti itu yang mengenakan sebarang sekatan dan syarat pada perhimpunan itu," katanya.
"Oleh itu, protes harus dibiarkan berjalan tanpa halangan."
Dalam kenyataannya, Zaid juga berkata keperluan pemberitahuan di bawah APA tidak menggantikan hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang gangguan atau amaran oleh pihak polis kepada peserta perhimpunan itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan menyalahi undang-undang,” katanya.
Mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan lain tentang "himpunan jalanan yang tidak terkira banyaknya" yang mereka anjurkan sewaktu menjadi pembangkang, Zaid menggesa supaya kerajaan menegakkan hak untuk berhimpun secara aman sekarang setelah mereka berkuasa.
“Melakukan sebaliknya mencerminkan sikap talam dua muka kerajaan.”
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment