KUALA LUMPUR- Polis merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM302.43 juta membabitkan 3,820,526 notis saman bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Jumlah tersebut meningkat hampir 136 peratus berbanding tahun lepas (2022) yang hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM127.87 juta sahaja.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kewujudan aplikasi MyBayarSaman antara penyumbang peningkatan pembayaran saman bagi agensi itu.
“Tahun lepas (2022) sahaja melalui sistem MyBayarSaman mencatatkan kutipan sebanyak RM37.59 juta membabitkan 207,217 notis saman.
“Berbeza dengan tahun ini, direkodkan sebanyak RM169.28 juta membabitkan 2.43 juta jumlah saman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati pembayaran saman melalui aplikasi MyBayarSaman bagi tahun lepas sahaja melibatkan 1,338,956 pengguna.
“Bagi tahun ini pula (setakat Ogos) kita merekodkan sebanyak 1,106,734 pengguna melunaskan bayaran mengikut aplikasi itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 6.44 juta saman bagi tahun 2022 manakala pada tahun ini (setakat Ogos) direkodkan sebanyak 1.91 juta saman.
Dalam perkembangan lain, Mat Kasim memberitahu bahawa kemalangan maut pada tahun ini sahaja melibatkan 4,366 orang.
“Dua per tiga daripada jumlah kemalangan itu disumbangkan oleh penunggang motosikal (2,641 kematian).
“Kebanyakkan mereka merupakan remaja berusia 14 tahun sehingga 35 tahun,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
No comments
Post a Comment