JOHOR BAHRU: Kerjasama baik di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berjaya diterjemahkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK), baru-baru ini, diyakini akan terus dibuktikan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata perubahan perlu dilakukan terutama dalam barisan EXCO kerajaan negeri supaya terdapat wakil daripada PH.
"Saya yakin dengan kejayaan besar kita ketika PRK dan hasil kerjasama serta hubungan baik PH-BN, saya percaya mereka akan cuba bentuk satu Kerajaan Perpaduan yang mantap.
"Jadi, demi kebaikan dan kemajuan rakyat serta negeri ini, saya harapkan ada sedikit perubahan dan pendekatan baharu yang mana wakil daripada PH boleh duduk dalam kerajaan di peringkat negeri.
"Perkara ini untuk kita buktikan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional dapat diterjemahkan juga di peringkat negeri, tetapi dari segi kedudukan terpulang. Kalau beri tiga jawatan EXCO kepada PH pun, kita dah rasa baik," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Johor berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Petugas PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, pihaknya menyerahkan kepada budi bicara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memutuskan perkara berkenaan, selain yang lebih penting mendapatkan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Mengenai kerusi EXCO itu, belum dibincangkan lagi, hanya cadangan. Apa-apa pun kita serahkan kepada Menteri Besar dan paling penting perkenan Tuanku Sultan," katanya.
No comments
Post a Comment