KUALA TERENGGANU - Sudah tiba masanya calon muka baharu dan anak muda yang berpotensi menang wajar bertanding di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berpandangan semua pihak perlu melakukan perubahan demi kebaikan jangka masa panjang jika mahu sekurang-kurangnya ada seorang wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan dari negeri itu.
"Sekarang ini apabila lihat trend dan keperluan semasa, ramai yang mahukan orang muda pada masa hadapan, maka itu kriteria penting dalam melakukan suatu pembaharuan.
"Dengan keputusan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, kita kena ambil iktibar dan ia merupakan suatu mesej bukan hanya di Terengganu tapi juga di tempat-tempat lain. Jadi kita kena bersedia untuk membuat keputusan demi kebaikan jangka masa panjang.
"Jangka masa panjang ini, kita kena buka ruang kepada siapa (muka baharu) yang terbaik di kawasan tersebut. Kalau ada calon yang sesuai maka perkara itu perlu perbincangan bersama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Dalam pilihan raya tersebut, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin menyatakan perbincangan perlu diadakan bersama BN berhubung soal meletakkan calon yang mewakili gabungan tersebut jika berlaku PRK di Kemaman.
"Jawatankuasa bersama PH dengan BN Terengganu kena bermesyuarat dan akan bincang semula serta membuat keputusan soal meletakkan calon PH atau BN pada pilihan raya itu nanti.
"Sekiranya PH meletakkan calon di kerusi itu nanti, kita akan akan mengutamakan muka baharu dengan meletakkan calon orang muda sebab ingin pergi jauh ke hadapan tetapi BN mungkin ada kriteria mereka sendiri (letak calon) yang mana mereka suka, perkara itu kita tak masuk campur," jelasnya.
Dalam pada itu, Raja Bahrin memaklumkan soal 'winnability' (kebolehmenangan) calon yang diletakkan pada PRK Kemaman nanti juga adalah amat penting.
Menurutnya, ini berikutan isu Kerajaan Perpaduan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat akibat tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menarik sokongan sekali gus menyebabkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini hanya mempunyai 147 daripada 222 kerusi Parlimen.
"Jadi implikasi mendapatkan satu lagi kerusi Parlimen ini mungkin amat signifikan dan penting untuk meraih semula majoriti dua pertiga dengan memenangi kerusi di Parlimen Kemaman.
"Oleh itu, calon yang diletakkan nanti perlu individu yang berpotensi untuk menang dengan mengambil kira trend pada masa ini yang mahukan calon anak muda dan muka baharu," ulasnya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment