Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 Disember. Gambar: Bernama |
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette semasa dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.
“Ya, kami dimaklumkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada Jumaat lepas (15 September),” kata peguam itu.
Pada 7 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.
Hakim Azhar Abdul Hamid yang membuat keputusan itu berkata adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.
Pada 2 September tahun lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka tanpa mendengar merit permohonan selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan berkenaan.
Pasangan itu kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 7 Julai 2023, mereka berjaya dalam rayuan dan mahkamah menghantar semula permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi untuk merit permohonan didengar.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment