NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nahas 14 kenderaan: Pemandu lori mengaku tidak bersalah, berdepan 10 tahun penjara

PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan menyebabkan kemalangan sehingga meragut dua nyawa di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, di sini pada pagi Rabu lalu.

Tertuduh, Muhammad Izzatul Shafik Mozaari, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada 20 September 2023, pukul 10.14 pagi memandu sebuah lori treler jenis Foton Auman dengan nombor pendaftaran VDK9906 dan memandu dengan berbahaya serta menyebabkan kematian Faris Haziq Abu Bakar dan Yuswar Mohd. Uyus.

Tertuduh dengan itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Aima Nabila turut menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober depan.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Abu Hanifa menawarkan ikat jamin RM10,000, namun jumlah berkenaan dikurangkan selepas tertuduh merayu jumlah berkenaan dikurangkan.

Dalam nahas di Kilometer 5.7, Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, Putrajaya itu, dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori treler bermuatan pasir dan batu selain 14 mangsa lain cedera.

Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang.

Nahas membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal termasuk sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori.

Siasatan mendapati, nahas berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong hilang kawalan dan melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas sama. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo