NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muda umum tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan Muda yang lain.

“Surat telah diutus ke Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) berkenaan perihal ini. Ini merupakan keputusan yang sukar tetapi ia mesti dilakukan.

“Tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan. Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X (dahulu Twitter).

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut.

Susulan itu, Muda mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengecam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang sebelum ini tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang tunduk kepada perasuah.

Syed Saddiq berkata, Muda ingin memberi fokusnya menjadi kuasa ketiga di blok pembangkang.

“Supaya menjadi suara rakyat dan mainkan peranan semak dan imbang. Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi serta perihal rakyat,” katanya.

Pengumuman Muda ini menyebabkan Kerajaan Perpaduan hanya mempunyai 147 ahli Parlimen iaitu kurang satu untuk majoriti dua pertiga.

Muda hanya mempunyai dua wakil rakyat yang mewakili parti tersebut iaitu Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen Muar dan Amira Aisya Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo