NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lihat penyelesaian jangka panjang, kata MMA gesa kerajaan berkenaan kemasukan jururawat asing

Gambar fail jururawat menghadiri acara sempena Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur pada 12 Mei 2022. Gambar: Bernama




Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melihat penyelesaian jangka panjang selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan jururawat terlatih warga asing (JTWA) bekerja di fasiliti kesihatan swasta di negara ini.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata, terdapat keperluan untuk KKM bekerjasama dengan sektor swasta dan mempunyai “dashboard” pusat pengagihan pekerja kesihatan, dan rancangan untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.

Ini kerana sudah menjadi trend untuk jururawat Malaysia keluar negara kerana tawaran gaji yang lebih menarik dan prospek kerjaya yang lebih baik.

"Di seluruh dunia, negara-negara kaya sememangnya mencari bakat daripada negara-negara membangun- satu kegusaran global yang disebut oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Sebagai respons, KKM perlukan perancangan jangka masa panjang lebih baik untuk tenaga kerja sektor kesihatan, mengambil kira keperluan populasi, pertumbuhan populasi dan kadar penuaan," katanya kepada MalaysiaNow.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan fasiliti kesihatan swasta boleh mengambil JTWA bermula 1 Oktober ini, tertakluk kepada beberapa syarat.

Syarat-syarat yang ditetapkan termasuk bilangan JTWA yang tidak boleh melebihi 40% di setiap fasiliti, keperluan menduduki ujian yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia dan pengambilan JTWA yang sah untuk tempoh 12 bulan.

Bagaimanapun, pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana masih ramai jururawat tempatan yang tidak mendapat kerja.

"KKM kena tunjukkan statistik bilangan jururawat yang ada berbanding jururawat yang diperlukan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, isu kekurangan jururawat adalah kerana mendapat tawaran gaji lebih tinggi di luar negara.

Azizan mempersoalkan sama ada negara mempunyai jurulatih tenaga kerja yang mencukupi untuk menguruskan perubahan demografi.

"Kita ibarat memadam api selama ini kerana tiada polisi jelas dari segi perancangan tenaga kerja kesihatan.

Katanya, klinik kesihatan swasta dengan fasiliti imbasan X-ray turut berdepan dengan kekurangan jururadiografi yang mana klinik-klinik tersebut terpaksa menamatkan perkhidmatan imbasan X-ray.

"KKM perlu membenarkan klinik-klinik ini mengajikan jururadiografi asing sebagai satu penyelesaian interim dan dalam tempoh tiga ke lima tahun, isu ini mesti diselesaikan.

"MMA telah bertemu dengan unit-unit berkenaan dalam KKM namun sehingga kini, tiada perkembangan."

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya Norhayati Abdul Rashid berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara mengakibatkan jururawat pelapis tidak dapat melengkapkan pengajian terutama aspek yang memerlukan “hands-on”.

"Sistem kesihatan tidak boleh membuka kemasukan baru kerana jururawat perlukan tiga tahun latihan sebelum didaftarkan sebagai jururawat.

"Jadi kita berada dalam tahap kritikal masalah kekurangan tenaga kerja," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, sepanjang pandemik, pelajar dalam bidang kejururawatan hanya mampu mempelajari teori menerusi kelas secara dalam talian, namun tidak boleh melakukan aspek pengajian yang bersifat “hands-on”.

Menurut Norhayati, pengoperasian hospital awam atau swasta yang kembali kepada normal pasca Covid-19 juga menyaksikan banyak perkhidmatan yang tertangguh, dan diburukkan dengan penambahan jumlah pesakit.

"Sektor kesihatan awam terganggu dengan masalah tenaga kerja namun tidaklah sampai perkhidmatan kesihatan ditamatkan.

“Tetapi sektor kesihatan swasta mengalami masalah vakum yang tinggi sehingga mengganggu perkhidmatan kesihatan," katanya.


Sumber I MalaysiaNow 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo