Anggota Polis membuat sekatan tidak membenarkan peserta himpunan berarak ke IPD Dang Wangi pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri.
Anggota Polis membuat sekatan tidak membenarkan peserta himpunan berarak ke IPD Dang Wangi pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri.

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 berjalan menuju ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi bagi membuat laporan polis dan membuat tiga tuntutan kepada kerajaan.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata antara tuntutan tersebut adalah meminta kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Terdahulu, peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula berkumpul di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Kebanyakan mereka berbaju putih dan membawa sepanduk yang meminta Ahmad Zahid didakwa semula.

Terdahulu, Faisal berkata, tiada perarakan menuju ke hadapan pusat beli-belah Sogo akan dilakukan dalam kalangan peserta himpunan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas selesai memberi ucapan, beliau memaklumkan akan berjalan kaki ke IPD Dang Wangi bersama Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia.

Tindakan itu kemudian diikuti oleh orang ramai yang turut menyertai perarakan dan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru.

Tinjauan BH di lokasi mendapati anggota polis ditempatkan di lokasi strategik dan sekitar kawasan Kampung Baru sempena Himpunan Selamatkan Malaysia.

Sejurus tiba di IPD Dang Wangi, lima ahli politik tampil membuat laporan, dipercayai mendesak supaya pendakwaan ke atas Ahmad Zahid diteruskan semula.

Laporan itu antara lain dikatakan bagi menggesa supaya siasatan dilakukan ke atas kerajaan yang didakwa melakukan salah guna kuasa kerana menghentikan prosiding membabitkan Ahmad Zahid.

Antara ahli politik berkenaan ialah, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mereka tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada jam 2.30 petang tadi.

Terdahulu, slogan 'dakwa Ahmad Zahid' dilaungkan peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, mendesak supaya pendakwaan ke atas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diteruskan, walaupun prosiding kes berkenaan sudah dihentikan pada 4 September lalu.

Mereka turut mendesak kerajaan segera mengatasi lonjakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.


Sumber | Bharian