NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kempen boikot perniagaan Pantai Timur, Kedah tak akan dapat sambutan, kata penganalisis



Kempen memboikot perniagaan Kedah dan Pantai Timur yang dicetuskan penyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak akan mendapat sambutan kerana ia hanya sekadar tindakan mengikut emosi gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata penganalisis politik. 

Mereka berkata, ia tidak akan memberi sebarang kebaikan sebaliknya hanya memecahbelahkan perpaduan kaum Melayu. 

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Shamsul Amri Baharuddin membidas kempen tersebut dan menyifatkan ia adalah salah satu contoh pihak yang tidak dapat menerima kekalahan.

Katanya, penyokong tegar PH-BN membiarkan diri mereka dibelenggu dengan politik emosi sehingga kabur mengenai realiti sebenar ekonomi Malaysia. 

“Nak boikot peniaga Melayu nak buat apa? Sebab segala rantaian barangan dan bekalan Pantai Barat dan Pantai Timur semenanjung di kuasai peniaga Cina. 

“Saya berasa kesian kepada mereka ini. Seolah-olah macam Melayu kena laga sesama sendiri oleh satu kuasa di belakang tadbir,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Selepas keputusan PRN yang menyaksikan kekalahan teruk PH-BN di tiga negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, seruan untuk memboikot produk dan peniaga Kedah, Kelantan dan Terengganu giat digerakkan penyokong mereka di media sosial. 

Alasan mereka ini kerana peniaga-peniaga itu yang mencari rezeki di negeri ditadbir PH-BN tetapi memilih untuk menyokong Perikatan Nasional (PN). 

Selain itu, kempen tersebut bertujuan mahu memaksa peniaga-peniaga tersebut balik ke negeri asal mereka. Namun tindakan itu dikritik ramai pihak yang berkata ia tindakan keterlaluan dan “pukul rata” untuk menghukum semua pengundi di tiga negeri tersebut hanya semata-mata kerana mereka memilih PN. 

Sementara penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain berpendapat senario itu terjadi kerana sikap penyokong yang terlalu taksub dengan politik kepartian. 

Katanya, penyokong sewajarnya perlu berpolitik secara matang dan terbuka serta tidak mengaitkannya dengan sentimen. 

Menurut Atory, akan mencetuskan situasi permusuhan semasa kaum Melayu dan berpuak-puak antara penduduk Pantai Barat dan Pantai Timur jika sentimen terus dimainkan.

“Terlalu ekstrem sehingga tidak dapat mengenali batasan, kita kena faham biarpun berbeza fahaman parti tapi persaudaraan Islam tetap ada. 

“Jangan kerana kita dari parti berlainan, persefahaman ideologi berlainan kita nak seteru dengan saudara seagama sebangsa kita. 

“Pendapat saya perasaan dendam ini patut dihentikan. Patutnya selepas habis PRN semua pihak perlu terima keputusan dengan terbuka,” katanya. 

Beliau juga senada gerakan kempen tersebut seolah-olah menggambarkan PH-BN tidak dapat menerima kenyataan kekalahan mereka. 

Sedangkan mereka sepatutnya perlu bersikap pandang ke depan dan memperbaiki kelemahan yang ada. Ia juga sama sekali bertentangan dengan gagasan Malaysia Madani yang diangkat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membawa masyarakat sivil, bertamadun dan moden, katanya. 

Sementara itu Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan), Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin pula berkata pihaknya menganggap kempen itu tidak serius dan ia adalah perkara biasa dalam politik. 

Beliau berkata, setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana anak perantau Kelantan yang berdepan masalah dengan perniagaan Kelantan gara-gara kempen tersebut. 

“Benda itu biasalah dalam politik. Hanya cakap-cakap sahaja, tapi kita tak ada pula menerima laporan ada kedai ditutup dan pelanggan kurang,” katanya.


Sumber I MalaysiaNow 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo