NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jabatan Peguam Negara masih siasat bukti baharu dalam kes Zahid

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh turut mengecam kritikan oleh Majlis Peguam.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 4 September. Gambar: Reuters

Jabatan Peguam Negara, dengan bantuan pelbagai pihak terutama pihak penyiasatan, masih menyiasat kesemua bukti baharu berkaitan kes dana Yayasan Akalbudi yang melibatkan Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata sebarang keputusan sama ada mendakwa semula timbalan perdana menteri itu, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat selepas siasatan lebih terperinci dan komprehensif selesai.

Beliau berkata jabatan itu tidak pernah menggunakan perkataan “menarik balik” dalam kes melibatkan Zahid sebagaimana yang disebut dalam kenyataan Majlis Peguam pada Khamis.

"Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa peguam negara hanya melaksanakan tugas dan kewajipan beliau sebagaimana diperuntuk di bawah undang-undang sedia ada. Oleh yang demikian, jabatan ini berharap agar semua pihak dapat memberhentikan sebarang spekulasi," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Isnin lepas, Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas 114 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terrirudin juga berkata peguam negara dan Jabatan Peguam Negara adalah pihak yang mempunyai kedudukan paling baik dalam membuat keputusan sama ada sesuatu pertuduhan harus diteruskan atau tidak berdasarkan pelbagai faktor.

Beliau berkata ia turut melibatkan laporan daripada pihak penyiasatan dan representasi yang dikemukakan.

"Peguam Negara serta Jabatan Peguam Negara tidak boleh secara semberono menolak representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh sebaliknya perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

"Dalam kes berkaitan, keputusan peguam negara menggunakan budi bicara beliau di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali dibuat tanpa sebarang asas mahupun sewenang-wenangnya apatah lagi akibat campur tangan mana-mana pihak," katanya.

"Oleh itu, sudah tentu peguam negara serta jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan dan tindakan boleh dibuat," katanya.

Beliau juga berkata peguam negara boleh memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.

“Penting juga untuk dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo