NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Falsafah Madani tidak mampan dari segi transformasi teknologi - Anwar



KUALA LUMPUR - Falsafah Madani tidak boleh menjadi mampan sekiranya Malaysia hanya melihat semata-mata dari segi perubahan atau transformasi teknologi tanpa diiringi dengan prihatin dan ihsan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini diberikan akses kepada kesalinghubungan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia bukan hanya soal teknologi tetapi untuk memastikan setiap rakyat daripada setinggan bandar atau miskin bandar hingga ke kawasan terpencil di Sabah atau Sarawak diberi peluang dan akses kepada kesalinghubungan.

"Jika tidak, pada fikiran saya, ia tidak mampan,” katanya pada ucapan penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd hari ini.

Anwar menegaskan bahawa kemampanan bukan untuk memanfaatkan segelintir orang, golongan elit bandar atau konco kerajaan tetapi untuk memberi manfaat kepada semua rakyat di negara ini.

Perdana Menteri juga berkata, transformasi digital memerlukan budaya pemikiran, sikap dan kesediaan baharu, bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk berkongsi dan rentak itu mesti berubah.

"Kita perlu bertindak balas dengan sewajarnya bukan sahaja melalui transformasi digital tetapi untuk memastikan terdapat kemudahan menjalankan perniagaan dan dasar yang lebih jelas.

"Itulah sebabnya mengapa kita melancarkan Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan malah kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Anwar menekankan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan yang sangat berani untuk memastikan negara mendapat manfaat daripada perubahan luar biasa, kemajuan dan pembangunan dalam industri teknologi maklumat.

"Pentadbiran yang lepas memutuskan untuk hanya satu rangkaian sahaja tetapi saya fikir selepas perbincangan dan perbahasan yang lebih meluas dan malah orang seperti saya perlu mempelajari lebih mendalam inovasi dan teknologi, kami telah membuat keputusan untuk membenarkan dwi rangkaian dan itulah keputusan untuk penyertaan Huawei yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan satu keputusan yang mudah kerana pandangan konvensional di beberapa bahagian di dunia adalah mengenai keselamatan dan kapasiti industri baharu.

"Kita di Malaysia, dengan Falsafah Madani dan Ekonomi Madani ini, memutuskan, dan saya percaya sewajarnya, bahawa apabila kita (mendapat manfaat) dari Barat, kita juga harus mendapat manfaat daripada Timur,” katanya. - Bernama




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo