Rasulullah saw apabila menyampaikan khutbah, terkadang merah wajahnya, memegang senjata seperti tombak, busur sebagai tongkat dan menghentak-hentaknya ketika berkhutbah. Suara baginda nyaring seperti panglima mengarahkan askarnya dalam perang.
Khutbah baginda pendek dan jelas. Beliau memanjangkan solat. Khutbah adalah satu waktu yang dikhususkan oleh Islam bagi seluruh umat lelaki Islam antaranya bagi mengingatkan mereka supaya bertakwa, mensyukuri Allah, mendoakan kepada seluruh umat Islam, mendengar ayat-ayat al-Quran, hadis, berselawat kepada Rasulullah dan sebagai pertemuan kecil setiap minggu sesama Islam.
Ia bukan medan berjenaka kerana kesedaran umat adalah amat penting. Pada zaman sekarang, pihak berwajib akan memastikan kandungan khutbah adalah melibatkan isu penting dan terkini bagi diperdengarkan kepada sidang Jumaat. Tidak cukup dengan itu, ada syarat sah, rukun khutbah yang mesti dipenuhi. Jelas, khutbah Jumaat ialah satu ibadat, bukan perkara suka-suka. Dua khutbah itu diibaratkan mengganti dua rakaat solat Zohor.
Sebab itu orang alim yang sebenar akan bersikap seperti Rasulullah dalam menyampaikan khutbah, tegas, serius, tajuk yang dipilih juga sangat berilmu dan terkapit dengan umat. Dan kerana itu juga, sewaktu dalam khutbah, diberi amaran, pahala kita akan menjadi sia-sia jika kita berbuat lagha seperti bercakap, hatta untuk menyuruh orang lain diam, sibuk dengan telefon bimbit malah bermain-main dengan jari juga dikira sebagai lagha.
Apabila khutbah yang disediakan oleh sesetengah Jabatan Agama Negeri, tajuk dan isinya tidak menyenangkan jemaah, maka ia akan dikritik, menunjukkan jemaah peka dengan kehendak atau ruh khutbah itu sendiri. Apatah lagi jika Jabatan Agama Negeri itu adalah kerajaan musuh politik mereka.
Tetapi jika pimpinan mereka, walaupun berbuat lawak dalam khutbah yang menjadi ibadat mingguan wajib itu, bagi mereka tiada masalah. Dalam ibadat pun mereka bersikap tidak adil biarpun jelas itu hak Allah. Jadi apa yang kita harapkan daripada mereka dengan hal dunia?
Teringat kata-kata salah seorang bekas pimpinan PAS sekitar pertengahan 90-an yang sangat anti Anwar sehingga bermacam-macam gelaran beliau berikan (sekarang sudah menjadi Menteri PH) ketika itu PMX masih dalam Umno. Beliau bimbang dengan penyamaran menggunakan Islam oleh Anwar, boleh melemahkan PAS. Kata beliau yang lebih kurangnya begini.
"Kalau Anwar jadi PM, minggu pertama dia naik baca khutbah di Masjid Negara, mampuih kita," kata beliau sambil tergelak.
Aku juga tergelak seorang mengingat kembali amaran oleh bekas pimpinan utama PAS itu.
Mohd Nasir Abdullah
25 September 2023
No comments
Post a Comment