NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beri ruang negeri urus sendiri import beras, Putrajaya diberitahu

Negara ketika ini berdepan dengan peningkatan harga beras putih import sehingga 36% seperti diumumkan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), baru-baru ini. 


PETALING JAYA: Sabah atau mana-mana negeri yang berhasrat untuk menguruskan sendiri import beras perlu diberikan ruang, sekiranya ia mampu mengurangkan beban kewangan Putrajaya, kata ahli ekonomi.

Abu Sufian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan berkata ia mampu memberi pengalaman baharu kepada pentadbiran negeri untuk mengawal selia perniagaan makanan ruji itu, selain menguruskan perkhidmatan air dan elektriknya sendiri.

“Elok juga Sabah (dan Sarawak) menguruskan sendiri industri beras secara berasingan.

“Ini akan meringankan beban pihak kementerian mengawal dua-dua negeri itu sebab jarak, dan ia akan memberi pengalaman baharu kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan industri beras,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas hasrat Sabah yang mahu monopoli import beras yang ketika ini dipegang Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) ditamatkan supaya negeri itu boleh mengimport sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, berkata import beras seharusnya diurus sendiri negeri berkenaan dengan pendekatan lebih rapi berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografinya.

Cadangan itu berikutan kebimbangan negeri berkenaan mengenai peningkatan harga beras putih import sehingga 36% seperti diumumkan Bernas, baru-baru ini.

Ditanya keupayaan negeri itu mengurus industri beras ketika pengurusan air dan elektrik masih lagi dihujani pelbagai rungutan, Sufian berkata dua industri berkenaan adalah perkara berbeza.

“Menguruskan beras yang menjadi makanan asasi rakyat Malaysia dan nusantara, bukan senang dan berbeza daripada menguruskan air dan elektrik yang mana ada punca alternatif. Beras mungkin tidak ada gantian,” katanya.

Justeru, katanya, Sabah memerlukan inovasi dalam tanaman padi sekiranya mahu memajukan industri berasnya sendiri memandangkan kawasan pertanian semakin mengecil, selain cuaca tidak menentu yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada pengeluaran beras.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah produksi padi atau beras perlukan inovasi dan penggunaan teknologi kerana penduduk semakin meningkat, kawasan semakin mengecil dan cuaca semakin tak menentu,” katanya.

Berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, import beras di Sabah mencapai 290,000 tan termasuk simpanan pada 2021, manakala pengeluaran beras tempatan hanya berjumlah 22,000 tan.

Jeffrey yang juga menteri pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah berkata pihaknya sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap beras import di bawah inisiatif pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mencapai sasaran meningkatkan tahap sara diri pengeluaran padi dan beras di negeri itu kepada 60% pada 2030.

Antara langkah diambil, katanya, dengan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran padi menerusi pembukaan semula sawah padi terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak yang turut bersetuju monopoli Bernas ditamatkan berkata pengurusan industri beras secara berasingan mampu meningkatkan ekonomi mikro rakyat negeri berkenaan.

“Jika kerajaan negeri sanggup untuk menguruskan industri beras secara bersendirian tanpa memerlukan subsidi dari kerajaan ia perlu dialu-alukan.

“Ia menjadikan inisiatif ini lebih bersifat mikro dan dilaksanakan benar-benar di peringkat akar umbi di pasaran,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo