Himpunan Selamatkan MalaysiaDr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berpandangan, Himpunan Selamatkan Malaysia yang ingin dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu negara esok sepatutnya dibenarkan selagi ia dilakukan secara aman.

Menurut beliau, pertimbangan yang sama telah diberikan terhadap perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Dr Akmal memberitahu, berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika mereka merasakan perhimpunan itu adalah baik dan mendatangkan faedah untuk rakyat, maka itu adalah hak mereka.

“Rakyat mampu menilai mana yang mendatangkan faedah kepada rakyat atau pun hanya untuk kepentingan politik individu semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Difahamkan, setakat ini, perhimpunan yang bakal diadakan di Kampung Baru itu belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Pada masa yang sama, Dr Akmal sekali lagi menjemput orang ramai untuk menghadiri himpunan bacaan Yasin dan solat hajat anjuran Pemuda UMNO di masjid-masjid seluruh negara, esok. – MalaysiaGazette