Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia berkata skim khusus perlu ditubuhkan untuk memberikan latihan percuma kepada golongan B40 yang ingin menjadi pemandu bas atau lori. |
PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia memohon kerajaan memperuntukkan insentif tambahan RM500 kepada pemandu bas atau lori dalam Belanjawan 2024 bulan depan.
Presidennya, Ashfar Ali, berkata langkah itu perlu bagi mengurangkan masalah kekurangan pemandu dalam industri pengangkutan awam kerana kegagalan pengusaha menawarkan upah bersesuaian dalam kalangan mereka.
“Pada masa sama, kami memohon peruntukan jumlah liter minyak yang disubsidi tersebut dinaikkan dari 2,880 liter kepada 6,000 liter bagi satu bas ekspres untuk sebulan dan dari 1,440 liter kepada 4,000 liter bagi satu bas berhenti-henti.
“Kami juga berharap kerajaan dapat menurunkan lagi harga diesel bersubsidi dari RM1.88 ke RM1.50 per liter,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, satu skim khusus perlu ditubuhkan untuk memberikan latihan percuma kepada sesiapa daripada golongan B40 yang ingin menjadi pemandu bas atau lori.
Dalam pada itu, Ashfar berharap kerajaan dapat membantu menyalurkan subsidi caj terminal sebanyak 30% dari bayaran setiap bulan oleh pengusaha bas kepada pengusaha terminal bagi mengurangkan beban mereka.
“Pengusaha bas dikenakan kadar caj terminal oleh pengusaha terminal (kebanyakan yang telah diswastakan) dengan sesuka hati mereka.
“Kami turut mohon pengecualian cukai jualan bas (yang hanya sehingga akhir tahun depan) termasuk alat penghawa dingin dilanjutkan sehingga akhir 2026,” katanya.
Mengakui elaun modal diberi kepada perkhidmatan bas kini tidak lagi menggambarkan susut nilai sebenar, beliau berkata kerajaan perlu mempercepat elaun berkenaan dan mencerminkan nilai sebenar susut nilai bas.
Selain itu, Ashfar mencadangkan kerajaan mengkaji semula kadar bayaran dan syarat Skim Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) serta Skim Transformasi Bas Berhenti-henti (SBBT) dengan menaikkan sebanyak 30% kadar bayaran per kilometer yang kini dibayar kepada pengusaha.
“Juga dipohon supaya kontrak pengusaha bagi kedua-dua skim ini dilanjutkan kepada lima tahun,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu memberi insentif kepada setiap pembelian atau penggantian bas elektrik bagi kerja penyelenggaraan dan sebagainya.
Menurutnya, kempen penggunaan pengangkutan awam juga perlu dilakukan dalam kalangan orang awam, pada masa sama program pembangunan usahawan pengangkutan awam perlu diwujudkan.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment