NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bank Negara kekal OPR pada 3%



Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3%.

Bank Negara (BNM) dalam satu kenyataan berkata pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” tambahnya. 

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.”

Pada 6 Julai lalu, BNM mengekalkan kadar OPR pada 3% selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.75% sejak Mei tahun ini.

Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi negara terkesan pada suku kedua tahun ini akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar. 

“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan,” menurut bank pusat itu.

“Faktor-faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2024.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai kadar inflasi, bank pusat itu menjelaskan inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana selaras dengan jangkaan. 

“Trend menurun ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda,” katanya. 

“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan, serta inflasi teras yang berlarutan.”

Sementara itu, menurut BNM ekonomi global dijangka terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi. 

“Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik,” menurut BNM. 

“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang.”

Menurut BNM, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat manakala prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

“Terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.”


Sumber I MalaysiaNow 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo