NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Badan pemantau media antarabangsa selar ancaman SKMM terhadap MalaysiaNow

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mendapat kecaman daripada badan pemantau media antarabangsa Reporters Without Borders kerana ancamannya terhadap portal berita MalaysiaNow. Gambar: Bernama




Badan pemantau media antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan ancaman yang dikenakan terhadap portal berita MalaysiaNow, menggesa suruhanjaya itu menghentikan "tekanan terhadap pengamal media yang mengkritik kerajaan". 

"RSF mengecam arahan penapisan yang dikeluarkan oleh SKMM terhadap laporan MalaysiaNow mengenai kekecohan di Parlimen," kata RSF, yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap langkah SKMM menyekat beberapa laman berita di negara itu, dalam catatan di Twitter. 

"Kami menyeru pengawal selia itu untuk segera menghentikan tekanannya terhadap pengamal media yang mengkritik kerajaan."

SKMM, yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diterajui oleh Fahmi Fadzil, memberi tempoh dua jam kepada MalaysiaNow pada 20 September untuk meminda atau menurunkan laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat, atau portal Berita itu akan berdepan "tindakan penguatkuasaan lanjut".

Episod di Dewan Rakyat menyaksikan perang mulut dalam kalangan wakil rakyat selepas Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin tidak berpuas hati dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau terlibat dengan pendakwaan rasuah. 

Tuntutan berulang kali Radzi supaya Anwar menarik balik tuduhannya itu ditolak, manakala Speaker Johari Abdul berkata tiada isu jika perdana menteri yakin dengan apa yang dinyatakannya.

Ini menyebabkan Radzi berang dengan mengatakan beliau juga boleh menyatakan beliau yakin bahawa Anwar, yang juga ahli parlimen Tambun, adalah seorang peliwat, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat oleh pemimpin PKR itu sebelum ini.

Menurut SKMM, artikel itu “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”, merujuk kepada ayat "Tambun peliwat" yang diungkapkan oleh Radzi.

SKMM bagaimanapun tidak memberikan versinya mengenai insiden itu.

“Pemerhatian SKMM mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.

“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), SKMM meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita,” tambahnya.

Arahan SKMM kepada MalaysiaNow itu susulan sekatan beberapa portal berita yang menerbitkan kandungan mengkritik kerajaan.

Awal bulan ini, RSF berkata ia "sangat bimbang" dengan “gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa sebarang penjelasan atau kawalan kehakiman, terhadap portal berita yang mengkritik kerajaan”.

"Kami menggesa Fahmi supaya menghentikan tindakan sekatan ini, yang hanya boleh memberi kesan negatif kepada demokrasi Malaysia," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF, Cedric Alviani.

Sekumpulan wartawan kanan juga memberi amaran kepada SKMM supaya tidak memainkan peranan sebagai "Big Brother", mengatakan ia mengingatkan kepada amalan pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik dan menggembirakan golongan elit politik.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan," menurut kenyataan bersama yang ditandatangani oleh wartawan terkemuka Johan Jaaffar dan A Kadir Jasin; bekas pengerusi Bernama Azman Ujang; bekas ketua pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab; serta beberapa lagi aktivis veteran media.

Kadir hari ini mengajukan soalan kepada pegawai SKMM adakah menjadi satu kesalahan bercakap mengenai kes mahkamah sebelum ini membabitkan perdana menteri, tetapi beliau tidak mendapat jawapan yang jelas.

"Setelah 10 bulan memerintah, tindak-tanduk sesetengah pemimpin kerajaan perpaduan dan agensi-agensi yang berkaitan dengan media massa memberi gambaran mereka kurang toleransi terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat. 

“Ada yang sampai membuat aduan polis," kata Kadir, yang pernah mengetuai syarikat akhbar The New Straits Times Press.


Sumber I MalaysiaNow 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo